“Dagu bengkak mungkin kerana jangkitan akibat tersalah makan”. Itu kata penyanyi, Ayu Damit apabila ada yang bertanya mengenai bahagian dagunya yang kelihatan membengkak ketika membuat persembahan di minggu kedua program Gegar Vaganza 7 (GV7) pada Ahad.
Jelas Ayu, perubahan pada bahagian tersebut disedarinya beberapa hari sebelum saingan GV7 dan telah pun mendapatkan rawatan bagi mengetahui punca sebenar.
“Ada juga yang bertanya dan saya jelaskanlah apa sebenarnya yang berlaku. Sekarang tengah tunggu keputusan, apa sebabnya.
“Ada kemungkian ia berpunca daripada tersalah makan memandangkan saya memang alah kepada beberapa jenis makanan. Doakan saya segera sembuh.
“Kalau nak diikutkan pun, bahagian rahang saya memang agar besar, cuma bila bahagian dagu itu mulai bengkak, membuatkan ia lebih jelas kelihatan,” katanya kepada MH.
Sementara itu, Ayu yang menyampaikan lagu Ke Hujung Dunia semalam yang pernah dipopularkan oleh Siti Sarah mengakui ada melakukan beberapa kesilapan dalam persembahan tersebut, sebagaimana yang diulas ketua juri, Datuk Ramli MS.
Ujar Ayu, dia mengambil setiap komen sebagai satu semangat untuknya memberikan yang terbaik, minggu hadapan.
“Bila tonton balik, saya akui ada buat silap dari segi teknikal dalam lagu. Malah Tok Ram (Ramli) ketika sesi latihan ada memberikan penekanan terhadap perkara tersebut.
“Saya minta maaf andai tidak dapat berikan yang terbaik buat peminat semalam. Apa pun, saya cuba serap sedikit demi sedikit apa yang telah ditegur dan diajar juri.
“Insya-Allah saya akan perbaiki dan perkemaskan cara nyanyian selepas ini,” katanya.
Menerusi saingan minggu ketiga GV7, bintang asal Sabah itu bakal mendendangkan lagu Senyuman Ragamu dari Gerhana Ska Cinta bagi menyahut cabaran tema ‘Cuba Try Test’.