Berita

Azhan Rani Akur Kena Patuh ‘Arahan’ Dua Bekas Pelajarnya – “Perasaan Bercampur Baur Kerana Tak Percaya…”

Share

“Zaman dia ikut cakap aku dah habis. Ini zaman kita ikut cakap mereka pula.”

Demikian kata pelakon Azhan Rani yang kini terpaksa akur apabila perlu mendengar arahan dua bekas pelajarnya iaitu Azhar Zainal dan Fasyali Fadhli bagi menjayakan pementasan teater terbitan Mask Team berjudul Andak Bertandak.

Azhan berkata, menerusi teater itu Azhar bertindak sebagai pengarah manakala Fasyali sebagai penulis skrip dan kedua-duanya adalah bekas pelajarnya ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Perasaan sudah tentu bercampur baur kerana tak percaya dulu mereka berdua ini selalu tunggu arahan saya, tapi sekarang saya kena ikut kehendak mereka.

“Sebagai pelakon saya memberi sepenuh kepercayaan kepada mereka memandangkan keduanya sudah profesional dalam bidang ini.

“Jadi saya buang ke tepi sebagai individu yang pernah menjadi tenaga pengajar dan pengarah mereka.

“Malah saya cuba ‘korek’ segala idea dan semangat adrenalin orang muda ini. Saya biarkan mereka berkarya dan ikut apa yang dimahukan. Ini masa mereka untuk keluarkan apa yang mereka miliki dan saya ambil ‘barang’ mereka,”katanya.

Menurut Azhan, dia berharap Azhar dan Fasyali yang kini  merupakan Dekan Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) terus menjadi nama-nama penting dalam pementasan teater.

“Mula-mula agak susah nak percaya tapi saya kena terima hakikat ini. Dalam masa sama terharu sebab mereka kini sudah mampu memberi arahan selain pakar dalam bidang masing-masing.   

“Saya sangat kagum dan mengharapkan mereka terus menjadi nama-nama penting dalam seni pementasan teater atau pun drama,” katanya.

Dalam pada itu, Azhan berkata, selepas lapan tahun tidak terbabit dalam pementasan teater dia akhirnya terbuka hati untuk menerima tawaran teater Andak Bertandak.

“Kali terakhir saya terbabit dalam pementasan teater adalah pada tahun 2016 menerusi teater Muzikal Randai Cindua Mato di Istana Budaya.

“Selepas itu, saya tidak terbabit dalam mana-mana pementasan, cuma sesekali dapat menghadirkan diri sebagai penonton.

“Sebenarnya kalau ikutkan saya agak keberatan untuk sertai teater ini kerana jadual seni saya agak padat disebabkan terikat dnegan penggambaran drama bersiri di Johor.

“Dalam masa sama, saya juga perlu membahagikan masa untuk menghadiri latihan. Jadi pada awalnya saya terpaksa tolak tawaran ini, tapi disebabkan Mask Team tidak berhenti memujuk kerana mahukan saya terbabit dalam teater ini selain sanggup mengatur jadual saya membuatkan saya terharu dan bersetuju.

“Tambah pula ini bukan kali pertama tawaran daripada Mask Team. Sebelum ini pun mereka ada mempelawa saya dalam pementasan teater Maduku Kalut,” katanya.

Teater Andak Bertandak bakal dipentaskan pada 29 Ogos hingga 1 September depan di Pentas 2, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC).

Selain Azhan, pelakon lain yang terbabit ialah Ellie Suriaty, Riena DIana, Jay Iswazir, Dottie, Aizat Saha, Fadhli Masoot dan Razman Mahayuddin.

Tiket menyaksikan teater Andak Bertandak sudah dijual secara atas talian di www.cloudjoi.com dengan harga tiket bermula RM65, RM95, RM125, dan RM155.

Teater Andak Bertandak mengisahkan kehidupan keluarga Andak serta masyarakat di sebuah kampung yang percaya kepada perkara tahyul sehingga menolak perubatan moden tanpa sebab yang munasabah.

Teater yang mempamerkan nilai komersial yang tinggi serta sarat dengan mesej kemasyarakatan dan kekeluargaan ini akan disampaikan dalam gaya penceritaan yang ringan dan dekat dengan penonton.

Biarpun bergenre farce comedy, teater Andak Bertandak diharapkan mampu meninggalkan kesan  mendalam kepada penonton yang hadir.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH