Pelawak dan penyampai radio, Shuib tampil memberikan penjelasan seterusnya membuat permohonan maaf secara terbuka mengenai satu babak yang dilakukannya pada program Sepahtu Live Reunion pada Khamis.
Aksinya yang sedang memarut kelapa yang didakwa seolah-olah memberi perlambangan kepada perkara lain, menimbulkan reaksi pelbagai pihak.
Secara rendah hati, suami kepada penyanyi Siti Sarah itu menyifat dia tidak mempunyai apa-apa niat lain, selain hanya mahu membuatkan penonton terhibur.
“Minggu lepas di Sepahtu Reunion pada hari Khamis, ada satu babak tu saya buat memarut kelapa.
“Jadi babak tu dah jadi kontroversi pula, jadi di sini saya dengan rendah dirilah nak memohon maaf kepada mereka yang terasa hati, kepada mereka yang rasa babak tersebut tidak patut dilakukan.
“Saya nak beritahu, ikhlas daripada hati saya, ketika melakukan babak itu, saya tidak ada maksudkan apa-apa. Tak ada nak pergi ke lucah ke, tak ada.
“Saya hanya nak buatkan orang ketawa sahaja. Tiada niat apa-apa. Tapi itulah, kalau kata ada yang terasa hati, saya minta maaf banyak-banyak,” katanya pada satu perkongsian video di Instagram, awal hari ini.
Shuib pada masa sama turut berjanji untuk tidak lagi melakukan lawak sedemikian.
“InsyaAllah ke depan saya tidak akan buat lagilah benda-benda yang macam itu,” katanya yang turut meminta ramai agar terus menyokong program lawak berkenaan.
Sepahtu Reunion Live bersiaran secara langsung setiap Khamis jam 9 malam menerusi Astro Warna dan Warna HD.