Hiburan

“Baby Rhea Saksi Keluarga Bertaut Semula,” – ND Lala & Fauziah Sarman Hadir Ke Majlis Aqiqah Anak Shila Amzah

Share

Penyanyi, Shila Amzah telah pun melangsung majlis aqiqah bagi meraikan anak keduanya, Rhea Akira, baru-baru ini.

Menerusi hantaran yang dikongsikan di Instagram pada Selasa, Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah merakamkan ucapan penghargaan buat semua pihak yang meluangkan masa menghadiri majlis keluarganya itu.

“Sehari sebelum berangkat ke China, kami mengadakan majlis aqiqah bagi meraikan anak perempuan kami, Rhea Akira.

“Terima kasih kepada semua ahli keluarga dan kawan-kawan yang sudi hadir memeriahkan majlis kami,” tulisnya.

Menerusi hantaran yang sama, Shila turut berkongsi foto-foto yang sempat dirakam sepanjang majlis berlangsung.

Malah, hantaran tersebut turut mendapat perhatian ramai apabila ahli keluarga Shila iaitu ibu, Fauziah Sarmah, Shada Amzah dan Amir Syahiran turut dilihat hadir bersama di majlis berkenaan.

Bukan setakat itu, bapa kepada Shila yang juga merupakan penyanyi senior, Datuk ND Lala juga hadir bagi meraikan hari berbahagia cucunya itu.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen tumpang gembira melihat keluarga Shila Amzah kembali disatukan selepas bebebrapa kali berdepan kemelut berpanjagan.

“Alhamdulillah, apa yang berlaku biarkan berlaku. Keluarga tetap keluarga walau apapun terjadi. Didoakan ikatan keluarga ini berkekalan.

“Semoga Allah beri kebahagiaan dan permudahkan segala urusan keluarga ini.

“Baby Rhea jadi saksi tautan semua family semula. Diharapkan perkara lama tidak berulang. Semoga yang baik-baik sahaja buat Sha dan Ubai.

“Ubai contoh suami yang baik. Boleh kumpulkan semua ahli keluarga yang terpisah. Hasil didikan suaminya,” antara komen-komen netizen.

Sebelum ini, Shila memutuskan untuk tinggal berasingan dengan ibu dan adik beradiknya bagi memberi tumpuan terhadap kandungannya.

Sekadar info, Shila dan ahli keluarganya pernah berdepan konflik berkaitan urusan penjualan rumah keluarga.

Malah, hubungannya bersama bapa juga dikatakan agak renggang selepas bapanya itu bercerai dengan ibunya.

Terdahulu, Shila dan suaminya, Ubai telah mendirikan rumah tangga pada tanggal 5 Ogos 2023 dan dikurniakan cahaya mata perempuan pada 9 Mei lalu.

Sebelum ini, Shila pernah berkahwin dengan Haris Idraki pada 2018 sebelum bercerai pada 2022.

Hasil perkongsian hidup tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Seth Uwais.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Shila Amzah & Danish Iman Thaqif

Published by
Aizam Manaf