Penyanyi, Baby Shima mengakui terpaksa menolak dari merakamkan lagu terbaru ciptaan seorang komposer terkenal dari Seberang.
Menurut Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli ini, sebelum membuat keputusan untuk menolak lagu tersebut, dia terlebih dulu ada bertanyakan rakan bagi membantu menterjemahkan maksud di sebaliknya.
“Bila dapat lirik lagu bertajuk Digigit Ular, saya baca dan fahami lirik lagu tersebut, jadi saya terus dapat dapat agak macam ada maksud tersirat dalam lirik itu.
“Jadi, saya tolak dengan cara baik untuk menyanyikan lagu itu. Antara liriknya lebih kurang begini…’ularnya besar sekali’.
“Bila saya fahamkan balik dari awal lirik itu sampai habis, ya memang ada unsur tak berapa elok,” kata Shima kepada MH.
Lantas, Shima berjumpa dengan komposer lagu berkenaan dan dia punyai jawapan tersendiri.
“Saya tanya penulis lirik itu, adakah ia mempunyai unsur lucah dan dia telah memberikan penjelasan,” jelas Shima peserta program Big Stage musim pertama ini lagi.
Ditanya mengenai batasannya dalam pemilihan lagu, Shima sebolehnya mahu menjaga nama baik.
“Saya berpegang kepada prinsip tidak sesekali mendendangkan lagu yang ada lirik kurang senonoh atau kurang sopan.
“Saya cuba untuk bawa imej dangdut dengan bersih dan sihat. Rasanya itu yang terbaik.
“Walaupun perkara itu (tolak tawaran) membuatkan terlepas peluang untuk bekerjasama dengan penggiat seni terkenal di sana, tapi saya yakin dengan keputusan yang dibuat.
“Pasti ada rezeki lain, insyaAllah,” akhirinya.
Foto : IG Baby Shima
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI