Chef selebriti, Datuk Fazley Yaakob mempunyai cara tersendiri dalam mendisplinkan anak-anaknya bagi membentuk keperibadian yang baik.
Diberi dua pilihan hukuman sebagai pengajaran kerana melakukan kesalahan, bapa kepada empat orang anak itu telah mengenakan ‘denda’ cara unik tetapi bermanfaat kepada anak ketiganya, Fierudz iaitu dengan membaca surah Al-Fatihah sebanyak 30 kali tanpa henti.
Perkara tersebut dikongsikan Fazley di Instagram miliknya.
“Ramai juga tanya saya adakah saya seorang ayah yang garang, jawapannya ada dalam video ini.
“Anak ke-3 saya @fierudzfazley ada buat beberapa kesalahan hari ni. Saya beri dia pilihan:
.
A) Nak kena rotan dengan tali pinggang, ATAU
.
B) Baca alfatehah tanpa henti selama 30 kali,” tulisnya.
Baginya, perkara tersebut dilakukan bertujuan memberi kesedaran kepada anak-anaknya setelah melakukan kesalahan.
“Prinsip saya di dalam membesarkan anak2, yang salah tetap salah dan perlu ada hukumannya supaya mereka sedar akan kesilapan mereka.
“Namun selepas menerima denda atau hukuman, saya akan terus memeluk dan cium mereka supaya mereka tidak merajuk lama dan menyimpan dendam.
“Piyush sayang, Dida love you so much ok!,” tulisnya lagi.
Untuk rekod, Fazley mendirikan rumah tangga bersama Azrene Soraya pada tahun 2006.
Pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata, Ahmad Fariedz, Ahmad Fieradz, Ahmad Fierudz, dan Alayna Salma.
Foto: Instagram Fazley Yaakob