Pempengaruh media sosial, Maryam You Narae menegaskan dirinya tidak akan sesekali membuka tudung meskipun hanya untuk menjalani sesi fotografi.
Jelas Maryam, dia terkilan apabila ada jenama terkenal yang tidak menghormati dirinya yang kini sudah berhijrah.
“Maryam reject buka tudung untuk photoshoot sebab diorang cakap kalau orang tanya, cakap saja photoshoot tu buat sebelum saya pakai tudung. Allahuakhbar saya tak sangguplah buat macam tu. Jadi, saya reject terus.
“Saya rasa macam tak percaya brand ni minta saya buat macam tu walaupun highly known brand di Malaysia tapi the mindset is like ‘Where is your respect?’. Ingat duit boleh beli segalanya ke?,” tulisnya.
Pendedahan tersebut dikongsikan sendiri oleh ibu kepada seorang cahaya mata itu menerusi sebuah hantaran di laman Instagram.
Katanya lagi, meskipun ditawarkan dengan bayaran yang lumayan, pendiriannya akan tetap tidak berubah.
“Awak suruh saya buka tudung sebab brand you besar? You nak bagi 100k ke 1 juta ke, there is no reason saya kena buka tudung.
“Sekarang 2023 pun still happen ye situation macam ni? Sampai sekarang saya tak percaya this happened to me.
Tapi Alhamdulillah Allah kuatkan hati saya.
“Ada juga orang minta saya pakai tudung sebab duit, tapi saya rasa tak selesa kalau buat macam tu sebab duit. Kalau tak dapat pun tak ada rasa rugi walaupun sebesar kuman.
“Maryam doakan semoga tiada mualaf get this kind of situation,” kongsinya lagi.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen dan rakan selebriti turut terkejut dengan pendedahan tersebut selain turut memuji sikap Maryam yang berpegang teguh dengan pendiriannya.
“SubhanAllah Allahuakbar, semoga Allah sentiasa lindungi dan bimbing kamu dan juga keluarga. Semoga kamu juga diberkati kekuatan iman,” komen penyanyi, Faizal Tahir.
“Semoga Allah melindungi kamu. Saya bangga dengan kamu,” komen pelakon, Catriona Ross.
“MasyaAllah Maryam, awak buat perkara yang betul. Semoga sentiasa istiqomah dalam mencari reda Allah,” balas penyanyi lqa Nasra.
“Tahniah Maryam. So proud of you,” balas seorang netizen.
Terdahulu, Maryam difahamkan mula mengenakan hijab sejak awal tahun lalu.
Sekadar informasi, Maryam dan suaminya, Ryzal Ibrahim berkahwin pada 15 Ogos 2019 selepas setahun mengenali hati budi masing-masing di Korea Selatan.
Hasil perkongsian hidup tersebut, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki pada 21 Oktober 2021.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Maryam