Pelakon versatil, Fasha Sandha mengakui dia tidak mempunyai resipi kebahagiaan secara spesifik dalam melayari bahtera perkahwinan yang dibinanya bersama suami, aktor Aidil Aziz sejak tiga tahun lalu.
Fasha atau nama lengkapnya, Nur Fasha Sandha Hassan berkata, dia dan suami lebih selesa menjalani rutin hidup secara sederhana sebagaimana kebanyakan suami isteri lain di luar sana.
Malah pasangan selebiriti ini juga percaya, bersederhana adalah kunci kepada keharmonian dalam hidup berumah tangga.
“Jujurnya, tiada ada-ada rahsia kehidupan harmoni yang kami jalani. Sama sahaja seperti pasangan lain. Cuma mungkin kami memilih untuk menerima kekurangan masing-masing selain hidup dalam serba sederhana sahaja.
“Bagi saya bersederhana itu penting kerana ia secara langsung akan membuatkan kita rasa bahagia. Alhamdulillah setakat ini semuanya berjalan dengan baik. Syukur dengan apa yang dilalui,” katanya.
Ditanya sejauhmana keterujaannya dalam menonjolkan sisi kebahagiaan seisi keluarga di media sosial, bintang drama Scammer ini mengamalkan konsep tidak berlebihan terhadap perkongsian yang dibuat.
“Pada pendapat saya, kita boleh berkongsi tetapi sebaiknya tidak keterlaluan, sederhana. Dalam apa yang kita buat jangan berlebihan. Sebab saya percaya bila berlebihan itu, ada ketikanya ia boleh datangkan masalah balik kepada kita. Saya dan suami sangat bersederhana.
“Bagaimanapun, ia terpulang juga kepada individu. Bagi saya, itu adalah sosial media yang kita punya. Jadi sudah tentu kita ada hak untuk mencorakkannya. Sebagai contoh, kalau memilih untuk lebih privasi, kita boleh lakukan dan begitulah sebaliknya. Selebriti juga mempunyai hak terhadap sosial media masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Fasha yang tersenarai dalam ‘top 5’ menerusi dua kategori di Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME 2021) iaitu Pelakon MeleTOP (Sihir Pemisah) dan Couple MeleTOP di samping Aidil turut gembira atas pemilihan tersebut hasil undian peminat.
“Kami bersyukur apabila tercalon dalam senarai ‘top 20’. Namun tidak sangka pula apabila nama saya dan suami ada dalam ‘top 5’ pula. Sebab bila lihat senarai yang ada, tidak dinafikan semua nama yang tengah ‘in’, terkenal dan sebagainya.
“Saya juga terharu dan berterima kasih juga kepada Osman Ali yang beri kepercayaan pada saya untuk terlibat telefilem Sihir Pemisah. Dia beri ruang untuk saya mencorakkan watak tersebut sebagai pelakon utama. Dia juga tidak pandang pada rupa semata-mata kerana saya pada ketika itu baru sahaja bersalin, badan sedikit berisi.
“Malah lebih istimewa sebab ini kali pertama kali dicalonkan bersama-sama suami. Tak sangka sebab kita biasa-biasa sahaja. Apa pun inilah dinamakan rezeki untuk kami dan anak-anak,” katanya.