Penyanyi dan penyampai radio, Dina Nadzir mengakui dirinya cukup gembira dan cuba untuk menjadi versi diri sendiri yang lebih baik bersempena dengan tahun baru ini apabila mengambil inisiatif untuk menurunkan berat badan secara sihat.
Katanya kepada MH, perlantikannya sebagai duta SSKlinic memberi ruang terbaik untuk mendapatkan bentuk tubuh lebih ideal dan dalam empat minggu, berat badannya kini susut sehingga 6 kilogram.
“Saya sangat gembira dan rasa lagi teruja apabila doktor yang pantau saya beritahu, berat saya boleh dikurangkan lagi kalau lebih berdisiplin, makan ikut waktu dan banyakkan minum air.
“Ingatkan 6 kilogram dalam tempoh sebulan itu sudah banyak, tapi katanya saya boleh turunkan lagi. InsyaAllah masih dalam proses dan kalau boleh, saya mahu miliki berat sekitar 80 kilogram, InsyaAllah,” jelas Dina optimis.
Ditanya sejauh mana kesukaran yang dihadapinya sepanjang proses untuk turunkan berat badan, penyanyi yang sinonim menerusi lagu Cinta Datang Lagi ini akui dirinya amat rindukan makanan segera.
“Ya saya akui sangat rindukan ‘jajan’. Berat saya ni 20 kilogram saja, selebihnya ‘jajan’ dan cokelat,” seloroh Dina.
“Saya tak nafikan memang susah. Bila pergi kedai pada peringkat awal tu, saya ambil kemudian terfikir untuk kurus jadi terpaksa letak balik. Kena kuatkan mental.
“Formula saya ialah, saya lebih gemar untuk kongsikan apa yang dilakukan sekarang dengan orang sekeliling. Jadi bila berbuat demikian, mereka akan lebih faham dan sensitif dalam soal pengambilan makanan.
“Saya bertuah kerana rakan-rakan pun menyokong. Misalnya di konti kalau kami ada buat ‘potluck’, ada yang akan bawa salad, air mineral dan sebagainya.
“Malah kalau kita terlupa, ada yang akan tegur sama ada makanan yang saya nak makan itu mengandungi gula atau sebaliknya. Mereka pula yang ingatkan, termasuklah ibu,” jelasnya lagi.
Tidak terlepas daripada ditanya isu body shaming yang diperkatakan ketika ini, wanita berusia 35 tahun ini menzahirkan rasa syukur apabila dirinya tidak diketahuinya secara terang-terangan.
“Seikhlasnya… tapi tak tahulah di belakang saya. Saya tidak pernah hadapi situasi kena body shaming secara berdepan. Alhamdulillah.
“Mungkin kerana personaliti saya yang seperti ‘kalau kau hentak aku, aku hentak kau balik.’ Pada masa sama saya juga suka bercakap dan bergurau, lebih-lebih lagi ketika ke udara.
“Sebab kalau kita terlalu sensitif pun, kita tak akan dapat ‘fun’ pun dalam hidup. Ia tak sampai pun ke hati, syukur. Mungkin lain orang lain pendekatannya.
“Cuma kalau di media sosial tu jangan cakaplah. Saya tak pernah ambil pusing pun. Kalau tengok komen saya sendiri pun sudah teruk, apatah dengan rakan-rakan industri lain?
“Sedih tengok komen yang diberikan dan saya sangat beruntung sebenarnya in that sense. Misalnya kalau tengok komen-komen netizen di media sosial Neelofa contohnya.
“Macam ada saja yang tidak kena. Bagi saya Neelofa tu macam dah perfect, apa lagi yang tak kena?,” katanya sejurus sidang media perlantikannya, di 3 Damansara, baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, perlantikannya itu bermula sejak November lalu dan atas kapasitinya sebagai selebriti, bintang ini turut membantu di dalam mempromosikan program rawatan pelansingan SSSlim.
SSKlinic menawarkan pelbagai jenis rawatan estetika serta program pelansingan badan.
Pihaknya juga turut melancarkan kempen ‘Pay As You Wish’ yang mana buat pelanggan pertama kali, mereka layak menikmati rawatan percubaan yang bernilai sehingga RM470.00 mengikut terma dan syarat.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI