Pelakon dan pelawak, Atu Zero akui perancangannya menyambut hari raya Aidilfitri pada tahun agak terjejas berikutan masih lagi tidak dapat pembayaran yang telah dijanjikan oleh sebuah stesen televisyen tempatan.
Menurut Atu, dia terpaksa menangguhkan dahulu hasratnya untuk menumbangkan dua ekor lembu untuk disumbangkan buat penduduk-penduduk kampung pada hari raya nanti.
“Bajet raya saya memang terjejas sedikit. Namun, Alhamdulilah isteri saya pun ada menjalankan bisnes kuih raya. Jadi, ia memang membantu persiapan kami menjelang hari raya.
“Pada mulanya saya berhasrat bila ada bajet sebanyak RM30,000 itu, saya nak sedekahkan dua ekor lembu untuk orang kampung. Lembu di sana memang susah nak sampai.
“Saya juga rancang nak beli mercun untuk menggembirakan orang-orang kampung,” katanya kepada MH.
Anggota kumpulan lawak, Zero itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Sumpahan Malam Raya baru-baru ini.
Dalam pada itu, Atu tetap reda dan menyifatkan setiap kejadian ini mempunyai hikmah yang tersendiri.
“Namun, isteri saya kata setiap yang berlaku ini ada hikmah. Katanya, kalau tak sempat raya kali ini, kita bawa ketika hari raya Aidiladha nanti.
“Mungkin pada waktu itu bayaran tertangguh ini sudah pun masuk,” ulasnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Atu akui sangat teruja apabila diberikan kepercayaan untuk melakonkan watak utama menerusi filem Sumpahan Malam Raya.
Jelas Atu lagi, membawakan watak sebagai Syawal sememangnya agak mencabar lebih-lebih lagi apabila terpaksa menjadi lebih serius dan banyak bermain dengan emosi.
“Alhamdulillah, saya sangat teruja apabila dapat sekali lagi bekerja dengan pengarah A. Razak Mohaideen selepas kali pertama ketika membintangi filem Shift Malam Raya.
“Membawakan watak utama ini sangat mencabar. Saya dah terbiasa ‘over active’ tapi kali ini saya kena tone down sedikit. Saya jadi murung kerana itu bukan diri saya.
“Saya sudah biasa dengan permainan pentas tapi kali ini pergerakan saya agak terbatas kerana shot kamera kecil.
“Namun, saya gembira selepas melihat hasil akhir filem tersebut. Semoga anda juga terhibur di hari raya nanti,” akhirinya.
Selain Atu, filem ini turut dibintangi pelakon-pelakon hebat lain antaranya Nora Danish, Danial Zaini dan Reen Rahim.
Filem ini juga turut menampilkan barisan artis-artis popular tempatan sebagai cameo seperti Datuk Yusri Abdul Halim, Datin Lisa Surihani, Ropie, Saiful Apek dan Rita Rudaini.
Sumpahan Malam Raya bakal menemui penonton bermula 1 Syawal ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.