Bila sebut sahaja mengenai kisah dongeng ‘Si Tanggang’, perkara pertama yang terlintas di fikiran sudah tentu mengenai kisah penderhakaan seorang anak kepada ibunya.
Namun, bagaimana jika hal yang sebaliknya pula berlaku? Apakah definasi yang sesuai bagi menjelaskan mengenai situasi tersebut? Itulah yang ingin digambarkan menerusi drama siri terbaru terbitan Astro Original yang berjudul I-Tanggang.
Drama I-Tanggang ini mempertaruhkan naratif baru di mana ia memaparkan kisah seorang ibu yang mempergunakan anaknya yang dikatakan sakit demi meraih simpati, sumber pendapatan dan dendam.
Menurut salah seorang pengarahnya, Wan Hasliza Wan Zainuddin, idea asal drama ini diinspirasikan daripada kisah pembunuhan seorang wanita yang menghidap penyakit mental Munchausen Syndrome by Proxy di Amerika Syarikat.
“Idea untuk menghasil drama siri ini tercetus ketika saya menonton salah satu talk show yang menampil seorang anak bernama Gypsy Rose Blancard yang merupakan mangsa kepada pesakit Munchausen Syndrome by Proxy.
“Gypsy Rose ini popular di Amerika Syarikat kerana kisahnya yang membunuh ibunya sendiri. Oleh itu, kami memutuskan untuk membuat research dengan lebih lanjut berhubung kisah ini.
“Munchausen Syndrome by Proxy ini merupakan sindrom dimana pesakitnya suka mendera orang lain bagi meraih perhatian ataupun wang ringgit.
“Kami juga sebenarnya agak terkejut dan tidak menyangka pihak Astro akan bersetuju untuk menerima idea kami,” katanya kepada MH.
Wan Hasliza berkata sedemikian ketika ditemui di sidang media drama, I-Tanggang yang berlangsung secara virtual pada Selasa.
Katanya lagi, konsep derhaka itu sendiri amat meluas dan bukan hanya tertumpu kepada perilaku seseorang anak itu sahaja.
“Seperti kita tahu, Tanggang ini merupakan sebuah kisah dongeng yang menceritakan mengenai isu derhaka seorang anak. Jadi, kami memutuskan untuk mencabar kisah tersebut.
“Bukan itu sahaja, drama ini turut memberi fokus kepada konsep ‘derhaka’ itu sendiri. Derhaka itu bukan datang dari satu sudut sahaja kerana banyak lagi faktor lain yang menyumbang kepada penderhakaan seseorang.
“Kisah Tanggang ini juga akan dikembangkan dan diberikan perspektif yang baru,” jelasnya lagi.
Ketika ditanya adakah babak-babak penderaan di dalam drama ini sudah ditapis, ini jawapan yang diberikan oleh
Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara dan Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad;
“Segala babak yang telah dirakam dan disunting, tiada satu pun yang akan ditapis. Semuanya akan ditayangkan.
“Babak-babak tersebut tidak akan dikeluarkan bagi memastikan penceritaan itu sampai kepada penonton. Apa yang kami ingin tekankan di sini adalah pada kekuatan mesej itu sendiri.
“Kami amat memerlukan keseluruhan babak untuk drama siri ini. Oleh itu, tiada tapisan yang akan dibuat,” ujarnya.
Drama yang mengetengahkan isu realiti kekeluargaan ini bakal menampil barisan-barisan pelakon hebat antaranya, Sherie Merlis, Faizal Hussein, Danish Hazriq, Nadhir Nasar dan ramai lagi.
Drama premium 12 episod ini bakal menemui penonton mulai 13 September 2021, setiap hari Isnin, jam 9.00 malam di Astro Citra, saluran 108.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI