Setelah hampir lima tahun menjalinkan hubungan istimewa, pelakon, Johan As’ari akhrinya mendedahkan dirinya bakal menamatkan zaman bujang bersama wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Miss N pada tahun ini.
Jelas Johan atau nama sebenarnya Johan Ariff As’ari, segala persiapan sedang giat dijalankan namun, dia masih belum boleh berkongsi tentang tarikh perkahwinannya itu kepada umum.
“Saya memang meletakkan sasaran untuk berkahwin pada tahun ini. Saya minta maaf kerana masih belum boleh mendedahkan tarikhnya. InsyaAllah saya akan uar-uarkan bila tiba waktunya nanti.
“Persediaan sudah pun menjangkau hampir 90 peratus. Jalannya itu sudah nampak. Saya sudah temui pilihan hati. Perbincangan bersama pihak wedding planner dan pihak penaja busana perkahwinan pun sudah dibuat,” katanya kepada MH.
Johan berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Tujuh Dua Belas yang berlangsung di Starling Mall, Petaling Jaya pada Selasa.
Katanya lagi, sifat tenang dan tidak terlalu terburu-buru memudahkan lagi perhubungan mereka meskipun terpaksa mengharunginya secara jarak jauh.
“Usia perkenalan kami baru lima tahun dan kami menjalani perhubungan secara jarak jauh. Beberapa tahun sebelum ini, dia tinggal di London tetapi selepas fasa pandemik, dia kembali ke Malaysia.
“Mungkin disebabkan kami tidak terlalu memaksa, perhubungan jarak jauh itu jadi lebih mudah untuk dijalani. Kami ambil berat antara satu sama lain tapi tidak terlalu berlebihan.
“Apa yang membuatkan saya jatuh hati kepadanya adalah kerana dia sentiasa memberi semangat kepada saya.
Berkongsi serba sedikit mengenai bakal isteri, Johan memaklumkan Miss N merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah dalam jurusan Sains Politik dan kini sedang mengusahakan beberapa jenis perniagaan termasuklah tanaman harum manis.
Ditanya adakah pasangannya itu sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga bersama selebriti, ini reaksi yang diberikan Johan;
“Sudah lama rasanya saya tiada kontroversi. Namun, kalau kita sudah pun bersatu hati dan serasi untuk menjadi pelengkap hidup, lebih daripada kontroversi pun kita akan tetap bersama.
“Kita akan sentiasa menyokong antara satu sama lain,” akhirinya.
Terdahulu, menerusi filem Tujuh Dua Belas ini, Johan membawakan watak antagonis utama sebagai Bentayan.
Selain Johan, filem sarat aksi ini juga turut dibintangi oleh barisan pelakon seperti Farali Khan, Idzham Ismail dan Adam Dawish.
Malah, Tujuh Dua Belas juga menampilkan pesilat kelahiran Indonesia yang popular di platform media sosial iaitu Chintya Chandranaya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.