
Penyanyi Adira Suhaimi menafikan khabar angin yang mendakwa dia bakal kembali rujuk dengan bekas suaminya, Datuk Red, sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Adira, Datuk Red atau nama sebenarnya Datuk Seri Adnan Abu sering bergurau, terutamanya ketika menjawab soalan netizen di media sosial.
“Tiada apa-apa berita gembira yang akan dikongsikan. Anda kena duduk semeja dengan Datuk Red. Barulah anda tahu dia seorang yang sangat suka bergurau dan selalu terlepas cakap.
“Selalunya ketika dalam sesi siaran langsung, netizen akan bertanya, ‘Dah kahwin ke belum tu?’. Dia pun jawab ‘Sudah’. Orang yang kenal Datuk Red, tahulah dia macam mana,” katanya.
Adira berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis berbuka puasa anjuran Nova Music, 17 Eleven & Future Music Entertainment, di Damansara, baru-baru ini.
Fokus Besarkan Anak
Dalam pada itu, Adira menjelaskan, buat masa ini dia belum terfikir untuk kembali berumah tangga.
“Saya belum lagi berfikir nak ke arah itu. Saya bersyukur bila ada yang mendoakan. Saya juga tiada berkenalan dengan orang lain. Ketika ini, saya selesa hidup seperti ini.
“Fokus saya ketika ini adalah untuk membesarkan anak-anak dan mencari rezeki,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, Adira tidak menutup pintu hatinya sepenuhnya dan menyerahkan urusan jodoh kepada takdir.
“Kalau ada jodoh, saya terima sahaja. Kalau tiada pun tak mengapa. Kalau saya tidak punyai anak yang ramai, mungkin saya terfikir untuk berkahwin lagi.
“Kini, semua anak-anak saya sangat memerlukan kasih sayang seorang ibu. Kalau saya nak bercinta dengan orang lain, terpaksa pula nak bahagikan masa. Biarlah anak-anak membesar dahulu.
“Namun, saya pun tak boleh nak mengulas panjang. Hari ini kita cakap lain. Esok lusa kita tak tahu apa akan terjadi. Jika ada berita gembira, saya akan maklumkan,”katanya.
Lancar Lagu ‘Syawal Rindu’
Bersempena Syawal, Adira turut melancarkan lagu raya baharu bersama penyanyi Black Hanifah berjudul Syawal Rindu.
Lagu ini mengisahkan perasaan rindu dan kasih terhadap keluarga serta kemeriahan Syawal yang tidak dapat diraikan bersama orang tersayang.
Diterbitkan oleh Nova Music, Syawal Rindu dilancarkan secara rasmi di semua platform penstriman muzik seperti Spotify, Apple Music dan YouTube sejak 14 Mac lalu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI