“setakat popular kat media sosial apa barang?”
Ini antara kata-kata orang ramai terhadap selebriti yang sering mendapat perhatian di media sosial, pelakon mahupun penyanyi.
Walaupun ada beberapa selebriti menganggap sosial media ini hanya sekadar tempat untuk berhubung sesama peminat, namun berbeza pula pandangan pelakon dan suami kepada Wawa Zainal Aeril Zafrel.
Melalui satu temuramah bersama media tempatan, Aeril berpendapat seorang selebriti perlu aktif dalam mengemaskini perkembangan terbaharu di media sosial milik masing-masing.
Baginya sebagai seorang selebriti, seseorang itu haruslah bijak menggunakan peluang sebegini dan secara tidak langsung dapat membantu produksi serta stesen TV untuk promosikan karya mereka.
Namun, semua itu haruslah bergerak seiringan dan jangan sesekali abaikan bakat yang ada.
“Lebih banyak pengikut, lebih ramai yang tahu apa kita buat. Tapi terpulang pada individu itu juga.
“Tapi janganlah sampai lebihkan sosial media. Saya takut masa akan datang, penonton tidak melihat pada kekurang lakonan seseorang itu.
“Sebab itu, bakat dan laman sosial kena bergerak seiringan. Sama-sama naik. Kalau kita terlampau fokus platform itu tapi bakat ke laut, susah juga,” jelasnya kepada wartawan mStar Online.
Bagi MH ada betul kata Aeril, walaupun sesetengah orang menganggap seorang selebriti tidak perlu terlalu kerap untuk muat naik perkembangan mereka di media sosial namun macam mana sekalipun platform seperti ini yang mampu menaikkan lagi nama mereka.
Malah tidak dinafikan jika mereka hanya berdiam diri dan tidak aktif dalam mempromosikan diri di dunia digital, MH rasa nama mereka sendiri akan dilupakan hari demi hari secara tidak sengaja.