“Balik Rumah Baru Terfikir, Mana Nak Cari Duit,” – Simpanan Habis Selepas Kahwin, Zalif Sidek Terkejut Rezeki Makin Murah

Share

Pelakon, Zalif Sidek mengakui rezekinya kini semakin bertambah apabila banyak menerima tawaran-tawaran kerja selepas mendirikan rumah tangga.

Menurut Zalif, meskipun pada mulanya dia berasa agak risau apabila duit simpanannya dikatakan telah habis digunakan untuk perbelanjaan perkahwinan, namun dia tetap bersyukur dengan segala perancangan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

“Sejujurnya saya dapat rasakan rezeki saya semakin bertambah-tambah selepas berkahwin. Pada mulanya Awesome TV tawarkan saya berlakon telemovie sahaja.

“Lepas sahaja habis telemovie itu, datang lagi rezeki lain. Ditambah pula saya sudah berkahwin. Alhamdulillah Allah susun rezeki kita itu sebaiknya dan kita tak terfikir pun.

“Terus terang saya katakan, selepas mengadakan majlis perkahwinan, duit simpanan saya pun habis. Segala simpanan yang saya ada selama ini, saya dah gunakan sebab saya ingin majlis tersebut berjalan lancar.

“Bila dah balik rumah, baru saya terfikir, macam mana nak cari duit. Duit dah takda ni. Kemudian datang tawaran daripada Awesome TV. Daripada telemovie sampailah ke game show. Beberapa stesen tv lain pun panggil,” katanya kepada MH.

Pelakon filem, Papa I Love You itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pratonton program television Awesome TV serta kolaborasi bersama syarikat korporat, Koperasi Amanah Pelaburan Berhad (KAPB).

Katanya lagi, kehidupannya juga sewaktu fasa pandemik ini juga agak terkesan lebih-lebih lagi selepas kehilangan bapa tercinta pada tahun lalu

“Sepanjang pandemik ini, kehidupan saya memang agak terkesan. Ditambah pula selepas pemergian bapa saya. Tawaran kerja pun kurang. Tetapi berkat kesabaran dan ikhlas dalam segala hal, Allah bukakan jalan.

“Saya ini anak sulung. Saya tak mahu bebankan adik-beradik saya yang lain. Kalau mak tak cukup duit, biar saya dahulukan. Tak perlu bebankan adik- beradik.

“Mungkin berkat doa daripada ibu dan isteri saya, susunan Allah itu sangat luar biasa. Macam magic saya rasa,” kongsinya lagi.

Ketika ditanya mengenai perbezaan kehidupan serta persiapan menyambut kedatangan bulan Ramadan selepas berumah tangga, Zalif memaklumkan tanggungjawabnya kini sudah semakin bertambah

“Selepas ini, saya dah tak perlu nak bersahur di luar. Dia pun nak pergi terawih sama-sama dengan saya. Dalam hati ni terdetik, Ya Allah ada juga orang nak teman aku pergi solat terawih.

“Persiapan untuk hari raya juga dah berbeza. Dulu kita pilih baju sendiri je. Mak pula saya hanya bagi duit dan dia uruskan sendiri.

“Dulu kita fikir diri kita je. Sekarang ini, setiap hari saya akan bertanya jika ada apa masalah. Nak masak apa pun saya tanya. Saya ingin mencontohi sifat arwah ayah saya. Apa ayah buat itu juga saya buat.

“Kami pun tak rancang fasal kehidupan selepas berkahwin ni. Ditakdirkan dia akan mengandung nanti, tanggungjawab saya akan lebih besar,” akhirinya.

Dalam perkembangan lain, Zalif bakal bergandingan bersama figura rock tanah air, Datuk Awie menerusi drama terbaru yang berjudul Sudin Sudah Kaya.

Sudin Sudah Kaya bakal bersiaran di slot ‘Dramedi’ pada setiap hari Khamis hingga Ahad jam 9 malam di platform Awesome TV disaluran Astro 123 dan MyTV 112.

Sekadar informasi, Zalif telah mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya, Anis Marzuki, pada 26 Februari lalu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf