Pelakon, Amelia Henderson bakal mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah tinggi yang mengarahkan dirinya membayar ganti rugi sebanyak lebih RM200,000 selepas tewas dalam keputusan kes saman pelanggaran kontrak perjanjian membabitkan syarikat produksi, A Aida Production Sdn Bhd.
Bagaimanapun, Amelia tetap akur dengan keputusan pihak mahkamah.
“Saya tak boleh berkata banyak. Saya pun akan buat rayuan juga. Jadi, kes ini masih berturusan dan kita nantikan keputusannya.
“Saya hormati keputusan mahkamah,” katanya kepada MH.
Pada masa sama, Amelia tetap merasakan dirinya memperoleh kemenangan kerana semua orang yang disayanginya ada disisinya disaat dia memerlukan.
“Saya hadir ke mahkamah hari ini tanpa sebarang ekpektasi. Saya bangga dengan diri saya sendiri sebab saya percaya saya buat perkara yang benar.
“Pada masa sama, perasaan ini juga yang memberikan saya kekuatan untuk membuat rayuan. Hari ini, secara peribadi, saya sangat gembira kerana ketika saat saya memerlukan kekuatan, semua orang yang saya sayang ada untuk saya.
“Saya tetap rasa menang. Ingin saya betulkan di sini, saya tak pernah berniat nak melawan sesiapa sebaliknya, keputusan yang saya buat ini adalah untuk menegakkan pendirian saya. Itu sahaja,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Amelia tetap menyifatkan dirinya mempunyai pengalaman yang baik sepanjang bekerja bersama A Aida selama ini.
“Pengalaman saya bekerja dengan Datuk A Aida memang sangat seronok. Tiada satu puh perkataan negatif untuk menggambarkan dirinya.
“Saya harap semua orang faham kes ini adalah berkaitan perbezaan pendapat. Itu sahaja,” kongsinya lagi.
Ketika ditanya mengenai kenyataan A Aida yang tidak mahu lagi bekerja dengan dirinya, Amelia akur dengan keputusan penerbit tersebut
“Kalau itu perasaan Datuk A Aida, saya terima. Kalau jumpa di luar saya tetap akan okay sahaja. Saya menghormati semua orang di dalam industri ini lebih-lebih lagi bila saya pernah bekerja dengan individu tersebut,” akhirinya.
Sepanjang perbicaraan bermula 1 November tahun lalu, seramai tiga saksi daripada plaintif termasuk A Aida dan tiga saksi defendan termasuk Amelia memberi keterangan.
Ketika perbicaraan berlangsung, pengurus produksi A Aida Production dilaporkan memberitahu mahkamah, syarikat itu terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran perjanjian yang dibuat Amelia.
Amelia dan dan seorang lagi pelakon, Idris Khan berdepan tindakan saman daripada A Aida selepas didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani.
A Aida bersama pengarah drama Sekali Lagi Cinta Kembali, Rizal Baharuddin dilaporkan sepakat membawa perkara itu ke muka pengadilan.
Bagaimanapun, saman antara A Aida dan Idris berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah, manakala Amelia memilih untuk dibicarakan.