“Banyak Lagi Gurauan Sopan Yang Kelakar,” – Jihan Muse Mohon Maaf Dengan Azmi Saat

Share

Penyanyi, Azmi Saat mendedahkan dirinya tidak berasa hati dengan gurauan pelawak, Jihan Muse yang menjadikan nama bapanya sebagai bahan jenaka sewaktu mengacarakan konsert All Star Gegar Vaganza (ASGV) Ahad lalu.

Menurut Azmi yang juga merupakan orang kelainan upaya (OKU) penglihatan, dia memang sudah menjangkakan hal ini akan menjadi kontroversi memandangkan ia juga pernah berlaku di stesen tv lain sebelum ini.

“Ketika mula-mula Jihan bergurau itu, saya berada di belakang pentas dan sedang menunggu pengacara panggil. Saya dengar perbualan mereka dan boleh agak hal seperti ini agak berbahaya untuk dibawa bergurau secara langsung.

“Memang pernah jadi isu sebelum ini apabila nama bapa dipermainkan, ia akan menjadi kecoh.

“Namun, dalam hati saya tidak berasa marah sebab saya kenal Jihan tapi biasanya orang akan tahu nama ayah ini tak boleh dibuat main,” katanya menerusi laporan video, Hlive di Instagram.

Dalam pada itu, vokalis kumpulan Caliph Busker ini turut memaklumkan Jihan telah pun menghantar mesej untuk memohon maaf.

“Jihan pun ada mesej saya untuk minta maaf. Saya dah cakap dengan dia jangan risau. Saya tiada apa-apa masalah. Cuma kita kena belajar. Gurauan macam tu memang agak sensitif buat masyarakat kita.

“Setiap orang bangga dengn nama ayah mereka. Bila buat main orang tak suka,” katanya lagi.

Lantaran itu, Azmi berharap agar isu ini dapat dijadikan pengajaran buat semua pihak agar lebih peka ketika bergurau terutamanya ketika program siaran langsung.

“Sebenarnya, gurauan-guruan seperti itu, kalau dibuat pada orang yang kita kenal, memang tak jadi masalah.

“Saya tak nafikan, bila gurauan tersebut dibuat secara terbuka di tv, penerimaan orang ramai memang tak suka bila OKU ini dipermainkan.

“Kawan-kawan saya pun ramai kata, kalaulah orang normal itu tahu macam mana susahnya menjadi OKU, mesti mereka tak sampai hati nak bergurau macam tu,” ulasnya lagi.

Pada masa sama, Azmi turut mengingatkan para pengacara untuk sentiasa menunjukkan contoh yang baik memandang segala tindak tanduk mereka menjadi perhatian.

“Bila kita melawak dengan kawan dan bila bekerja sebagai orang tumpuan ini memang berbeza. Bila jadi pengacara, kita kena jadi contoh kepada masyarakat.

“Setiap apa yang kita lakukan, orang akan menilai. Benda baik orang akan suka. Benda tak baik, orang akan kecam. Jadi, untuk program di tv atau melibatkan orang ramai, gurauan itu kena cantik sikit.

“Jika bersama kawan, saya tiada masalah pun nak bergurau kasar sedikit. Kadang kala perkara itu yang mengeratkan. Jika di tv, banyak lagi gurauan sopan yang kelakar,” akhirinya.

Terdahulu, Azmi telah membuat kemunculan di ASGV untuk berduet dengan salah seorang pesertanya, Azharina untuk menyanyikan lagu Pupus nyanyian asal Dewa 19.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Hlive, Jihan Muse & Azmi Saat, Tik Tok Awani

Published by
Aizam Manaf