Penyanyi Ernie Zakri menyifatkan suaminya yang juga penyanyi, Syamel sebagai lelaki yang penyabar dan sangat memahami.
Malah, penyanyi Tak Kan Terlerai itu juga banyak membantu di dalam hal berkaitan persiapan perkahwinan mereka.
Atas hal tersebut, Ernie, 29, atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri berterima kasih kepada suami tersayang, selain mendedahkan Syamel juga seorang yang relak.
“Saya sebenarnya nak ucapkan terima kasih banyak kepada Syamel kerana dia seorang yang sangat memahami. Dia juga sabar walau apa pun cabaran ditempuh, terutama hal nak kahwin ini.
“Dia orang yang paling relak, tenang dan banyak menenangkan saya. Dia selalu cakap tak apa benda boleh selesai. Banyak perkara nak cakap pada dia, tapi buat masa sekarang nak ucapkan terima kasih pada dia,” katanya.
Meski baru sahaja bergelar pengantin baru, Ernie yang juga pemenang Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) lalu memaklumkan, dia sudah pun ada komitmen dalam kerja esok.
Dia pada masa sama bersyukur apa yang dilakukan selepas ini menjadi lebih mudah memandangkan suami turut terlibat dalam industri sama.
“Perancangan, kami tetap akan terus bekerja. Esok saya sudah bekerja dan lusa pun kami sudah mula bekerja. Jadi, saya berasa macam perancangan dari sudut kerjaya tentu saja akan terus aktif dan lebih aktif sebab senang sudah boleh bergerak bersama.
“Saya berasakan kami akan lebih aktif sebab dapat keizinan suami. Alhamdulillah. Kehidupan selepas kahwin pula, sama saja macam orang lain. Masing-masing akan cuba sesuaikan diri,” katanya.
Sementara itu ketika berkongsi mengenai saat diijab kabul, Ernie mengakui gementar selain sedih apabila tidak dapat meraikan momen indah bersama keluarga lain disebabkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Perasaan masa nak nikah, sangat gementar. Dalam masa sama, saya dan Syamel berasa sedih sebab kalau boleh nak semua keluarga berada bersama kami. Tapi masa nikah hanya 20 orang saja dibenarkan berada di masjid.
“Tapi, apa-apa pun saya berasa lebih kepada terkenang kalaulah ada arwah nenek datuk saya dan Syamel ada bersama mugkin lebih bermakna.
“Sejuruh selepas sah nikah, alhamdulillah sangat lega. Selepas beberapa cabaran kami tempuhi, sebab banyak pasangan juga tempuh cabaran sama terutama cabaran masa Perihkah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), agak sukar daripada ketika normal dengan SOP dan dokumentasi semua.
“Tetapi saya gembira dan lega sangat apabila semuanya selesai.
“Perasaan nak pikul tanggungjabwa baharu, sejujurnya masih belum ada rasa apa-apa. Mungkin sebab belum lalui lagi. Tapi, insya-Allah doakan semoga segala urusan saya dan Syamel dipermudahkan.
“Terutama selepas berkahwin kerana kami berdua ada kerjaya sama. Jadi, persefahaman itu lebih sedikit untuk kami berdua,” katanya lagi.
Terdahulu, pasangan selebriti itu sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang dilangsungkan di Masjid Puncak Alam, Puncak Alam, Selangor, kira-kira jam 10.30 pagi Jumaat.
Pasangan itu dinikahkan juru nikah, Ustaz Zainal dengan berwalikan bapa pengantin perempuan, Zakri Ahmad.
Pada majlis itu, Syamel menyerahkan mas kahwin RM300 dan seutas gelang tangan berlian beserta lima dulang hantaran. Manakala pihak Ernie membalas dengan tujuh dulang.
Menzahirkan rasa teruja dan gembira, pasangan raja sehari itu turut bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan.
Syamel dan Ernie sebelum ini mengikat tali pertunangan pada Ogos tahun lalu.
Foto: Instagram Ernie Zakri, Syamel
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI