Penyanyi dan penulis lagu Osem Han, melancarkan lagu terbaharu berjudul Masih Bisakah sebagai respon erhadap peningkatan isu perceraian dan ketegangan dalam hubungan rumah tangga yang sering menjadi perhatian ramai kebelakangan ini.
Menurut Osem, karya ini tercipta sebagai refleksi terhadap realiti kehidupan rumah tangga yang tidak selalunya indah.
Apatah lagi dengan wujudnya media sosial yang memberi ruang kepada lebih banyak masalah peribadi untuk dibincangkan secara terbuka.
“Terlalu banyak isu perceraian sekarang ini. Mungkin dulu kita jarang mendengar tentang masalah rumah tangga secara terbuka tetapi dengan media sosial, isu ini semakin meluas dan mendapat perhatian ramai.
“Itulah sebabnya saya menghasilkan lagu ini, untuk memberi pengajaran dan membuka mata tentang apa yang sebenarnya berlaku dalam hubungan berpasangan,” katanya.
Osem menambah, karya ini turut mengangkat tema besar tentang penerimaan dan keikhlasan dalam sesebuah hubungan.
Ia berkisar tentang bagaimana pasangan berhadapan dengan kesalahan dan ketidaksempurnaan masing-masing dan ia bukan sekadar tentang cinta, tetapi lebih kepada soal kemampuan pasangan untuk menerima kesilapan dan bertahan dalam hubungan yang diuji.
“Lagu ini ibaratnya seperti bertanya kepada diri kita, bolehkah kita menerima kesalahan pasangan kita?
“Bolehkan kita terus bersama walaupun sudah banyak perkara yang berlaku? Dalam setiap perhubungan, ada masa kita merasa teruji dan bertanya, masih bisakah kita teruskan?,” katanya lagi.
Sementara itu, Osem berkata lagu ini sangat dekat dengan pengalamannya sendiri.
“Mungkin ada kaitannya dengan kehidupan saya dan isteri saya. Saya ingin memberi peringatan bahawa dalam perkahwinan, tidak semuanya sempurna. Ada fasa-fasa indah, tetapi ada juga cabaran besar yang perlu dihadapi bersama.
“Lagu ini sengaja saya biarkan ‘tergantung’ tanpa penyelesaian yang jelas, menggambarkan bahawa jawapan sebenar bagi setiap pasangan ada dalam diri mereka sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Osem mengakui dalam mencipta lagu ini, dia berusaha untuk tidak menjadikan Masih Bisakah sebuah lagu yang terlalu klise atau romantik.
Sebaliknya, dia mahu ia lebih kepada sentuhan realistik yang mencerminkan kehidupan sebenar.
“Saya cuba elakkan lagu ini daripada menjadi terlalu ‘lovey-dovey’. Ini adalah tentang realiti hidup.
“Saya mahu pendengar rasa seolah-olah mereka sedang bercakap tentang kehidupan mereka sendiri,” tambahnya.
Proses penghasilan lagu ini juga mencabar memandangkan ia dirakamkan di tiga lokasi berbeza iaitu Singapura, Jakarta, dan Bali, bagi mendapatkan pengalaman muzik yang pelbagai.
Osem pada masa sama berharap agar Masih Bisakah dapat memberikan pengajaran kepada mereka yang sedang melalui fasa sukar dalam hubungan rumah tangga.
“Lagu ini mengingatkan bahawa dalam perkahwinan, cabaran dan ujian adalah sebahagian daripada kehidupan.
“Jangan terlalu mudah berputus asa bila menghadapi masalah. Perhubungan memerlukan usaha bersama untuk terus berkembang.
“Masih Bisakah bukan sahaja sebuah lagu, tetapi sebuah seruan kepada semua pasangan untuk berfikir panjang tentang keputusan mereka dalam hubungan,” katanya lagi.
Dengan realisme dan keikhlasan yang disuntik dalam lirik dan muziknya, Osem berharap lagu ini dapat memberi inspirasi dan pengajaran buat mereka yang berdepan dengan ujian dalam perhubungan.
Masih Bisakah kini sudah boleh didengar di semua platform muzik digital.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini