Menolak kemungkinan bakal mendirikan rumah tangga pada tahun ini sementelah ramai rakan selebriti lain memilih tahun 2020 untuk bergelar raja sehari, Syafiq Kyle memberitahu meski dia memasang niat untuk berkahwin, namun dia perlu membuat persediaan mental sebelum menjadi ketua keluarga.
Jelasnya ketika ditemui pada pertunjukan fesyen Summeraya 2020 Rico Rinaldi, dia punya impian untuk disatukan sebagai suami isteri, namun kekangan masa dan ilmu sebagai ketua keluarga harus dipelajari terlebih dahulu.
“Ibu dan bapa saya berpesan, kalau berkawan dengan wanita, yang penting kalau tiada duit nak kahwin kena pasang niat untuk berkahwin. Dan saya sudah pasang niat tapi tak kahwin lagi.
“Saya kena hormat waktu pasangan saya dan dia pun kena hormat masa saya. Dan ibu bapa membiarkan kami membuat keputusan sendiri.
“Kami bekerja dalam bidang ini dan waktu pun tidak menentu. Apa yang saya perlu buat ialah sediakan diri terlebih dahulu untuk menjadi ketua keluarga dan suami.
“Banyak tanggungjawab sebelum saya nak menjaga anak dara orang. Itu lagi penting daripada saya fikirkan bila nak kahwin,” jelasnya kepada MH.
Terlepas peluang menjadi tahun 2020 sebagai tarikh keramat, aktor popular ini berseloroh memilih tahun 2022 sebagai tahun untuk menamatkan zaman bujang.
“Kalau 2020 bila ada tarikh yang cantik lagi ya? Mendirikan rumah tangga merupakan impian setiap lelaki. Saya ada impian dan niat untuk berkahwin.
“Ada lagi tak tahun yang cantik? Mungkin 2022?,” seloroh bintang Nur ini.
Dalam perkembangan lain, Syafiq Kyle berkolaborasi dengan pereka terkenal, Rico Rinaldi untuk keluaran baju kasual raya lelaki dan perempuan dengan tema Summeraya 2020.
Terdahulu umum mengetahui hubungan cinta yang terjalin antara pelakon tersebut dengan Mimi Lana sejak lima tahun lalu.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI