Berita

Barang Rumah Akan Dilelong? Vida Bertenang – “Digantung Dan Ditunda Untuk Sita.”

Share

Usahawan sensasi, Datuk Seri Vida, tampil memberi penjelasan berhubung isu tuntutan hutang daripada sebuah syarikat kontraktor sebelum ini.

Menurut Vida, atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 54, beliau telah membayar sebanyak RM3.5 juta kepada kontraktor tersebut, namun mendakwa pihak berkenaan gagal melaksanakan tugas dengan baik.

Beri Reaksi Isu Hangat

“Semua tidak tahu apa yang benar-benar terjadi. Saya ni buat studio bayar duit dahulu iaitu ketika dia (pihak kontraktor) menunjukkan contoh reka bentuk studio tersebut.

“Saya mahukan ianya siap dalam masa tiga bulan namun menurutnya, mereka tidak cukup bajet.

“Maka saya perlu bayar dahulu RM3 juta, kemudian tak cukup dan ada lagi tambahan lain, jadi RM3 juta setengah.

“Tiba-tiba bila dia dah dapat duit, dia berjalan entah ke mana. Saya hanya berurusan dengan orang bawahan.

“Jadi apa yang saya nak tak dapat. Studio itu tidak ada tandas dan bekalan elektrik, tak munasabah,” jelasnya.

Vida berkata demikian ketika ditemui pada Malam Penghargaan Nona Superwoman Award 2024 di M World Hotel, Petaling Jaya pada Rabu.

Dalam pada itu ditanya mengenai perkembangan terkini berkenaan sesi lelongan barangan di kediamannya, Vida memaklumkan ia ditunda buat sementara waktu.

Yakin Di Pihak Benar

“Digantung dan ditunda untuk sita. Insya-Allah saya dipihak yang benar dan perkara tersebut tidak akan berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, Vida tetap optimis dan yakin dia berada di pihak yang benar.

“Kita ini kalau nak berniaga jangan tipu orang lain. Saya reda dan yakin saya akan menang. Ada ujian yang perlu saya lalui dan Allah nak bagi ganjaran kepada kita.

“Segalanya melalui peguam namun saya tidak duduk diam, ada usaha dan ikhtiar serta tawakal,” ulasnya.

Terdahulu pada 25 November lalu, media melaporkan aset milik Datuk Seri Vida di kediamannya di Persiaran Bukit Meru, Ipoh, Perak telah disita susulan gagal melunaskan hutang sebanyak RM1,060,285 kepada sebuah syarikat kontraktor.

Hutang tersebut berkaitan dengan kerja-kerja pengubahsuaian sebuah kilang di Shah Alam, Selangor menjadi studio pada tahun 2018.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
MH