
Dunia hiburan Asia dikejutkan dengan pemergian aktres terkenal, Barbie Hsu, yang meninggal dunia akibat komplikasi pneumonia pada 2 Februari lalu. Pemergian bintang Meteor Garden itu meninggalkan kesedihan mendalam buat keluarga dan peminat setianya.
Terbaharu, menurut laporan China Times, harta peninggalan Barbie dianggarkan bernilai 600 juta yuan (RM368 juta) akan dibahagikan secara sama rata antara suaminya, DJ Koo, serta dua anaknya mengikut undang-undang warisan tempatan.
Namun, memandangkan anak-anaknya masih di bawah umur, harta mereka akan diuruskan oleh bapa kandung mereka, Wang Xiaofei, yang juga bekas suami kepada aktres tersebut, sehingga mereka mencapai usia dewasa.
Suami lepas hak
Menariknya, menerusi satu hantaran di Instagram, DJ Koo menyatakan hasratnya untuk melepaskan hak terhadap bahagian warisan tersebut dan menyerahkan segala-galanya kepada ibu mentua.
“Pusaka ini adalah hasil kerja keras Barbie untuk melindungi keluarga yang disayanginya. Jadi, saya tidak akan mengambil hak saya dan akan menyerahkannya kepada ibu mentua saya,” tulisnya di Instagram.
BACA JUGA: Pelakon Meteor Garden, Barbie Hsu, Meninggal Dunia Pada Usia 48 Tahun
Sebelum ini, kisah cinta Barbie Hsu & DJ Koo menjadi perhatian apabila mereka kembali bersama selepas 20 tahun berpisah. Pasangan ini berkahwin pada Mac 2022 selepas hubungan mereka yang terputus sekian lama bertaut kembali.

Miliki kerjaya hebat
Barbie Hsu bermula dalam industri hiburan bersama adiknya, Dee Hsu, sebagai sebahagian daripada duo pop S.O.S yang menampilkan genre muzik yang tenang dengan latar muzik instrumental.
Walaupun begitu, nama mula menjadi popular selepas kejayaannya membawakan watak Shan Cai dalam drama fenomena Meteor Garden (2001) yang merupakan adaptasi daripada manga Jepun bertajuk Boys Over Flowers.
Drama itu bukan sahaja melonjakkan namanya ke peringkat antarabangsa, malah menjadikannya antara pelakon paling berpengaruh dalam industri hiburan Asia.
Selain Meteor Garden, Barbie turut membintangi beberapa filem dan drama terkenal seperti The Ghost Inside (2005), Connected (2008), Reign of Assassins (2010) dan My Kingdom (2011).
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI