Bariskan 100 Artis Seperti Elyana & Ayie Floor 88, Festival Jualan Raya 65 Jam ‘Non Stop’ Di KL Pasti Mega!

Share

Penyanyi popular Elyana, Lan A To Z dan Ayie Floor 88 antara selebriti yang dijangka bakal memeriahkan festival Hoorrey X Fest Raya yang bakal dianjurkan pada 19 hingga 21 April depan.

Selain mereka, turut bersama-sama ialah penglibatan seramai 100 artis popular tanah air lainnya seperti Wan Scoin, Jaafar Onn, Amer Forteen, Aidil Aziz, Risteena, Izzue Islam dan ramai lagi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Asia Global Entertainment (International) Sdn Bhd, Datuk Mohammad Alif Hakim, penganjuran berkenaan akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Tambahnya lagi, festival tersebut juga turut mendapat kerjasama dari Kelab Usahawan Selebriti Malaysia (KUSM) serta Artist Corner, menawarkan sebuah acara membeli-belah 65 jam tanpa henti.

“Matlamat kami adalah memberi peluang kepada rakan-rakan artis tempatan termasuk mana-mana peniaga lain untuk sama-sama berniaga di tapak yang telah kami sediakan.

“Umum tahu, saban tahun pada bulan Ramadan, banyak festival seumpamanya dianjurkan. Namun kami percaya, festival ini juga mampu menarik ramai pengunjung dan memberi pilihan buat mereka untuk membeli-belah pelbagai barangan terutama persiapan menjelang hari raya nanti.

“Sebab itu, kami buka ruang perniagaan dan pengalaman membeli-belah selama 65 jam yang mungkin mahu mencari keperluan raya di saat-saat akhir,” katanya.

Mengulas mengenai sasaran menganjurkan festival berkenaan, Mohammad Alif menjelaskan pihaknya tidak berhasrat untuk bersaing, sebaliknya mahu memberi peluang rezeki.

“Tiada istilah mahu bersaing dengan mana-mana pihak. Kami cuma mahu memberi peluang kepada para usahawan termasuk artis dan selebriti untuk menjalankan perniagaan tanpa had masa selama tiga hari ia diadakan.

“Malah, dari satu perspektif lain, Hoorrey X Fest Raya juga akan menjadi medan pilihan di mana pelanggan dan pengunjung dapat membeli-belah sakan sempena hari raya di samping berpeluang merasai pelbagai acara menarik yang disediakan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohammad Alif berkata, sempena penganjurannya juga, pelbagai acara menarik turut akan diselitkan termasuk program Infaq Ramadan Hoorrey yang berbentuk jamuan berbuka puasa, moreh, sumbangan kelengkapan dan duit raya serta program sahur teramai di WTCKL.

Lebih menarik, pihaknya optimis menyasarkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi aktiviti pengalaman bersahur beramai-ramai di WTCKL nanti.

Sehubungan itu, Mohammad Alif menyeru dan membuka peluang buat semua usahawan dan peniaga yang berminat untuk bersama-sama memeriahkan Hoorrey X Fest Raya dengan harga terendah RM1,500 untuk sewa tapak.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH