Nabil Mahir kini lebih terbuka dan tidak menolak andai mendapat tawaran lakonan bersesuaian selepas ini apabila mengakui dirinya kini sudah pun bersedia untuk bergelar pelakon secara serius.
Terdahulu, bintang yang sebelum ini sinonim sebagai pengacara selain terlibat dalam dunia perniagaan keluarga menambah, keinginannya untuk terjun dalam lakonan kian positif selepas mendapat keizinan bapa.
“Jujurnya, saya baru sahaja dapat lampu hijau dari keluarga untuk berlakon. Sebelum ini keluarga terutamanya bapa tidak berapa galakkan untuk saya berlakon. Saya pun tidak tahu mengapa bila mana bapa sudah berikan keizinannya.
“Baru-baru ini, dia ada bagi kebenaran. Katanya kalau saya nak cuba untuk berlakon, sekarang di beri kebenaran. Saya rasa berterima kasih dan terharulah atas keizinannya itu.
“Saya pernah berlakon cuma tidaklah terlalu serius dalam lakonan. InsyaAllah saya sudah bersedia mental dan fizikal andai ada tawaran selepas ini,” katanya kepada MH.
Terdahulu, bintang yang yang pernah bergelar hos program hLive! ini ditemui pada majlis sidang media jalinan kerjasama di antara Digital Content Connection (DCC) dan ACE Pictures di Zebra Showcase, Palace of the Golden Horses, baru-baru ini.
Menerusi kerjasama berkenaan, dua syarikat tersebut bakal membuka ruang, seterusnya menyediakan sokongan terhadap bakat-bakat tempatan, terutamanya dalam industri perfileman, khasnya yang melibatkan dunia digital.
Foto: Instagram Nabil Mahir