Bawa Pulang RM50k, Juara Vokal Mania Aina Abdul Dedah 2 Perkara Tak Boleh Dilupakan – “Dengar Suara Orang Bersembang Di ‘In-Ear Monitor Dan…,”

Share

Tahniah diucapkan buat penyanyi Aina Abdul yang dinobatkan sebagai juara idol di program Vokal Mania final malam tadi.

Selama sembilan minggu bersaing, bintang tang kini popular menerusi lagu Semalam  menewaskan barisan idol lainnya iaitu Indah Ruhaila, Lan Solo dan Tomok.

Berkongsi mengenai kemenangannya itu, Aina akui ada beberapa perkara yang tidak dapat dilupakan sepanjang penglibatannya di dalam Vokal Mania.

“Sejujurnya, ada dua perkara yang tak boleh saya lupakan sepanjang menyertai Vokal Mania. Pertama, ketika saya terpaksa membuat persembahan live dari rumah kerana menjalani proses kuarantin.

“Ketika itu, band yang saya tampilkan bersama di rumah mendapat kritikan dan dipanggil sebagai band orang kahwin. Saya menghormati pandangan terbabit tapi jauh di dasar hati, saya rasa terkilan kerana kami meletakkan sepenuh usaha di minggu tersebut.

“Disebabkan itu, saya menampilkan orang yang sama, band yang sama di pentas akhir Vokal Mania mengiringi saya di persembahan solo menyampaikan lagu Shadow dan I Surrender.

“Kedua, sewaktu saya menyanyikan lagu Reflection di minggu kelima. Ketika itu, saya menghadapi masalah dengan monitor di telinga (in-ear monitor) atas kesilapan teknikal.

“Waktu saya sedang menyanyi, saya mendengar suara orang bersembang di in-ear monitor dan akhirnya saya hilang fokus.

“Kesalahan itu saya letakkan kepada diri saya sendiri kerana tidak memberikan sepenuh tumpuan terhadap nyanyian.

“Saya belajar dari insiden terbabit dan selepas itu, saya tak boleh berharap 100 peratus terhadap monitor dan harus memberikan fokus terhadap persembahan,” katanya seperi yang dipetik Tonton Xtra.

Pada masa sama, kemenangan tersebut juga menjadi penutup manis dalam kerjaya seninya tahun ini.

“Tak terungkap penghargaan dan rasa berterima kasih saya kepada semua pihak. Saya amat hargai usaha keras team saya, tenaga produksi, pihak TV3 dan terutama sekali kepada penyokong saya, Ainations yang memberi aura positif setiap hari.

“Saya anggap kemenangan ini sebagai penutup manis bagi tahun 2020 dan berharap tahun 2021 akan lebih bersinar,” katanya lagi.

Selepas berjaya dinobatkan sebagai juara, Aina meraih hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi Vokal Mania.

Sementara Sharifa Aisha Retno pula diumumkan sebagai juara Rookie Vokal Mania untuk musim pertama sekali gus membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM30,000 beserta trofi.

Sumber, Foto : Xtra Tonton, Instagram TV3 Malaysia

Published by
MH