Pelakon, Puteri Sarah Liyana menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan wataknya sebagai wanita perampas didalam drama Hijrah Jannah mempunyai motif untuk membalas dendam atau menyindir orang lain.
Jelas Puteri Sarah, dia sebenarnya mahu mencabar dirinya yang pertama kali membawakan watak antagonis.
“Tidak sama sekali. Saya ambil watak Munirah ini kerana ia mencabar kredibiliti saya sebagai seorang pelakon. Alhamdulillah watak saya sebagai Umairah dalam drama Andai Itu Takdirnya menyerlah.
“Jadi, saya ingin mencuba untuk membawa watak lain daripada yang lain pula. Ketika saya diberikan tawaran ini, saya terus setuju,” katanya kepada MH.
Dalam pada itu, ibu kepada dua orang cahaya mata ini turut memaklumkan konsentrasinya sepanjang membawakan watak ini langsung tidak terjejas meskipun terpalit dengan masalah peribadi.
“Sepanjang penggambaran, perasaan saya okay sahaja. Saya rasa menarik untuk membawa watak Munirah ini. Saya juga sangat bersemangat. Saya tiada masalah untuk membawakan apa sahaja jenis watak.
“Saya ini sejenis yang tidak mencampur aduk kerjaya dengan masalah peribadi. Andai ada masalah, saya akan letak tepi. Bila dah masuk ke set, ‘roh’ seorang pelakon itu menyerap ke dalam diri saya,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Puteri Sarah turut berharap agar para penonton dapat memberinya peluang dalam percubaan pertamanya ini.
“Saya tahu yang penonton akan mengaitkan watak Munirah ini dengan kehidupan peribadi saya. Saya dapat merasakan ia bakal menimbulkan satu isu.
“Tapi apa salahnya saya mencuba sesuatu yang baharu untuk hidup saya. Saya rasa sangat seronok sangat membawakan watak ini. Saya sendiri tak tahu kenapa,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, isteri kepada pengarah sensasi, Syamsul Yusof ini juga sudah bersedia untuk menerima segala kecaman dan kritikan penonton sepanjang drama ini berlangsung nanti.
“Saya dapat rasakan yang watak saya dan Aida Khalida akan dibenci netizen. Watak saya pula seorang penyondol psiko. Saya takut juga sebenarnya sebab ketika ini orang menyayangi watak Umairah.
“Mungkin penonton pun akan dilema nanti. Sebab itu saya rasa watak ini menarik buat saya. Sebelum ini, saya tak berpeluang untuk mengembangkan bakat lakonan.
“Orang cuma nampak saya ini berwajah cantik. Saya dah menyerlah dalam Andai Itu Takdirnya. Jadi, saya berharap agar drama ini begitu juga,” akhirinya.
Terdahulu, drama Hijrah Jannah ini akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula 5 Jun 2023 di saluran Astro Ria.
Selain Puteri Sarah, drama ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Remy Ishak, Aida Khalida dan Daniella Sya.