Bayi Seberat 2.79kg Dilahirkan Secara Normal, Ain Edruce Syukur Dipermudahkan – “Harap Tanggungjawab Baru Ini Akan Saya Pikul Sebaik Mungkin.”

Share

Tahniah diucapkan buat pelakon dan pengacara, Ain Edruce yang selamat melahirkan anak perempuan jam 1.30 pagi semalam.

Bayi dengan berat 2.79 kilogram itu dilahirkan secara normal di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya, Selangor.

Menurut Ain, meski dia merasakan bakal menimang anak lelaki, namun dia dan suami menerima kehadiran ‘baby girl’ dengan hati terbuka dan bersyukur atas rezeki yang dikurniakan.

“Ain awalnya meneka akan melahirkan anak lelaki, manakala suami pula menebak anak sulung kami jantina perempuan.

“Nampaknya tekaan suami saya yang betul. Apapun jantina, saya dan suami menyambut tanda cinta kami ini dengan penuh kesyukuran,” katanya.

Isteri kepada ahli perniagaan, Amirul Hafiz Mustaffa itu berkata hingga saat ini dia tidak menyangka akan bergelar ibu.

“Memang kalau cakap dah jadi ibu, saya sendiri rasa macam di awang-awangan. Tapi semestinya saya dan suami mengharapkan rumah tangga kami akan diserikan dengan kehadiran cahaya mata sulung.

“Harapnya tanggungjawab baru ini akan saya pikul sebaik mungkin. Insya-Allah. Syukur juga proses kelahiran anak sulung kami dipermudahkan,” katanya lagi.

Terdahulu gelagat Ain berkongsi video di aplikasi TikTok sementara menanti detik bersalin nyata  mencuri tumpuan ramai.

Untuk rekod, pasangan ini bernikah pada 13 Disember 2019.

Published by
MH