Merokok itu hak individu, tetapi pernahkah perokok tahu yang mereka sedang memperjudikan kesihatan orang disekeliling mereka. Ya, orang itu adalah ahli keluarga dan teman rapat mereka sendiri.
Asap rokok bukan sahaja membahayakan perokok, malah asap rokok yang dihembus(sekunder) dan asap rokok yang melekat pada permukaan(tertier) seperti pakaian juga turut sama mempunyai risiko yang mengancam nyawa.
Asap rokok mengandungi lebih 7,000 bahan kimia yang berpotensi menyebabkan kanser dan pelbagai penyakit seperti jantung, strok dan mati pucuk!
Walaupun tidak merokok, seseorang itu juga sebenarnya terdedah kepada asap rokok basi dan asap rokok tertier, sekali gus mendedahkan diri kepada pelbagai penyakit seperti seorang perokok.
Lebih memburukkan keadaan, mereka yang tidak merokok dan terdedah secara langsung dengan asap rokok basi ini turut berisiko menghidap penyakit sama seperti seorang perokok!
‘Segan’ Untuk Tegur Perokok?
Tahukah anda, kajian yang dijalankan oleh National Health & Morbidity Survey (NHMS), menyatakan hampir 94.5% rakyat Malaysia sebulat suara bersetuju sekiranya perokok ditegur. Lebih mengejutkan, 74.9% perokok sendiri bersetuju dan bersedia untuk ditegur sekiranya mereka merokok berhampiran orang yang tidak merokok.
Oleh itu sudah tiba masanya untuk bukan perokok untuk bersuara. Kempen “Speak Out: Suarakan Hak Anda” menggalakkan rakyat Malaysia untuk menegur perokok yang merokok di sekeliling mereka.
Setiap daripada kita ada peranan masing-masing dan tidak ada seorang pun terkecuali, begitu juga dengan larangan merokok di mana kita tidak boleh bersandar sepenuhnya pada bahu pihak berkuasa semata-mata. Jalankan tanggungjawab kita sebagai bangsa Malaysia yang prihatin.
Kami tahu, disebalik keinginan anda untuk menegur dan bersuara, kami percaya ramai yang lebih rela untuk berdiam diri kerana bimbang sekiranya teguran tersebut akan menyinggung hati perokok, apatah lagi bila melibatkan orang terdekat.
Ayuh, beranikan diri dan suarakan hak anda. Benar, ianya memerlukan sedikit masa untuk membina keberanian dan keyakinan untuk menegur, tetapi percayalah, jika kita bermula dari sekarang lambat laun usaha kita pasti akan menjadi ikutan dan diterima masyarakat.
Sebenarnya beberapa kawasan di seluruh Malaysia telahpun diwartakan sebagai kawasan larangan merokok. Terdapat 23 kawasan yang telah diwartakan merangkumi restoran, premis kerajaan, taman awam, pengangkutan awam dan sebagainya. Kawasan larangan merokok yang anda boleh wartakan sendiri adalah rumah rumah anda sendiri! Mudah kan?
Bagaimana Nak Menegur?
Anda dah bersedia? Mulakan dengan keyakinan dan niat yang baik. Ingat, tujuan anda menegur adalah supaya orang disekeliling tidak terkena asap rokok yang berbahaya kepada kesihatan.
Kedua, gunakan perkataan yang baik. Elakkan menggunakan perkataan atau sindiran yang menyinggung perasaan.
Ketiga, sampaikan teguran tanpa sebarang provokasi. Tegurlah mengikut kesesuaian tempat dan sampaikanlah dengan cara yang paling berhemah dan sopan.
Sama ada anda adalah seorang perokok atau tidak, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan orang di sekeliling tidak terjejas dengan asap rokok. Ayuh kita mulakan norma baharu dan membudayakan menegur perokok demi kebaikan bersama.
Kepada perokok, sekiranya anda ditegur, jangan pula rasa tersinggung ya, kami yang tidak merokok sayang anda! Nyatakan rasa tidak selesa kepada orang yang merokok di sekeliling anda okay!
Kredit foto: chanonnat srisuria/shutterstock.com
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI