Pasangan selebriti, Awal Ashaari dan Scha Alyahya mengakui ada ahli keluarga mereka masih belum menatap wajah anak kedua, Lyla Amina yang dilahirkan pada 12 Februari lalu.
Menurut Awal, perancangan untuk memperkenalkan Lyla kepada ahli keluarga yang lain tidak kesampaian apabila perlaksaan Perintah Kawalan Pergerakan sekali lagi dikuat kuasakan bermula 10 Mei lalu.
“Ketika melahirkan Lyla, SOP sangat ketat. Ibu serta ahli keluarga lain tak dapat datang. Jadi mereka mengharapkan ketika hari rayalah mungkin dapat tatap wajah ahli keluarga baru kami.
“Malah selepas beberapa hari Lyla dilahirkan pun saya tak beri tetamu datang, saya kata nantilah dulu. Bimbang andai ada apa-apa berlaku sebab kita ada anak kecilkan. Raya nanti insya-Allah dapat jumpa.
“Jadi saya sudah fikirlah untuk ziarah ke rumah nenek, saling berkumpul ketika itu. Rupa-rupanya hampa.
“Macam Scha lagilah, abangnya menetap di Johor dan adik pula di Australia. Memang tak dapat jumpa memandangkan sebelum ini kami akan berkumpul setiap kali sambut raya saja,” kata Awal.
Mereka ditemui di Majlis Berbuka Puasa dan Pelancaran Amina Food di Cookhouse, TTDI Damansara, awal Mei lalu.
Scha bagaimanapun menyifatkan apa yang berlaku adalah yang terbaik demi kesejahteraan keluarga dan penjagaan kesihatan bayi yang baru dilahirkan.
“Ahli keluarga saya yang lain pun tak jumpa lagi Lyla. Tapi nak buat macam mana kan.
“Kalau kita nak berjumpa sekali pun, mungkin akan datangkan kemudaratan buat anak kecil kami.
“Sebaiknya, kami sekeluarga buat apa yang termampu, misalnya berhubung menerusi media sosial dan sebagainya,” katanya lagi.
Foto: Instagram Scha, Awal
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI