Bekas suami kepada penyanyi terkenal Ziana Zain iaitu Armin Zaharin Ahmad Zambri telah dijatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan kerana merotan anak lelakinya oleh Mahkamah Majistret Shah Alam pada 28 September lalu.
Bagaimanapun, Armin memfailkan rayuan kepada Mahkamah Tinggi atas sabitan dan hukuman bagi kesalahan itu pada tarikh yang sama hukuman dijatuhkan.
Memetik Berita Harian, peguam yang mewakili Armin berkata rayuan itu sepatutnya ditetapkan pada 4 Nov lalu di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nur Azizah Jaafar namun ditangguh berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Lalu, mahkamah telah menetapkan tarikh pengurusan kes pada 19 November hadapan.
Sebelum ini, Armin telah dijatuhkan hukuman oleh mahkhamah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam di bahagian tangan anak lelakinya yang berumur sembilan tahun menggunakan sebatang rotan di sebuah rumah di Denai Alam, Shah Alam, antara jam 8 hingga 10.30 malam 24 Februari 2018.
Sekadar informasi, Armin yang merupakan bekas ketua pramugara itu ditangkap pada 2 Mac 2018 selepas Ziana membuat laporan polis pada 27 Februari 2018.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 9 Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata.
Ziana dan Armin sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.
Sumber: Berita Harian