Berita

Beli Dua Kondominium Di Selangor Hadiah Hari Jadi Soffya & Fahri, Wawa Zainal – “Tak Adalah Mewah Sangat, Cuma Alhamdulillah.”

Share

Pasangan selebriti, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal menghadiahkan dua unit kondominium khas buat dua anak mereka iaitu Soffya dan Fahri bersempena dengan ulang tahun kelahiran masing-masing. 

Menurut Wawa, 33, selain sebagai hadiah hari jadi, kediaman berkenaan juga adalah aset anak-anak pada masa akan datang.

“Tak adalah mewah sangat cuma alhamdulillah. Kita memikirkan mengenai masa depan anak-anak. Jadi setiap kali tiba hari jadi mereka, adalah kami sediakan hadiah atau buat majlis sambutan.

“Tahun ini, kita bagi anak-anak rumah demi masa depan mereka. Rumah jenis kondo, dua unit dan terletak kawasan Selangor juga.

“Harganya tidak mahal mana pun, berpatutan saja. Rasanya tak perlu untuk saya kongsikan harga,” katanya.

Wawa berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui pada majlis Pelancaran Wawa Mummy Baby Sunscreen Set di Bangi Golf Resort, Selangor, pada Sabtu sambil ditemani suami, pelakon Aeril Zafrel.

Menyatakan rasa teruja, Wawa juga bersyukur apabila produk terbaharunya itu menerima maklum balas baik dan sebanyak 100,000 unit telah diperuntukkan untuk kempen kali ini.

“Ia diberikan secara percuma dengan setiap pembelian Wawa Sunscreen. Saya percaya setiap kondisi kulit mereka berbeza-beza. Jadi dengan adanya Mummy Baby Sunscreen set ini mereka boleh cuba mana satu yang terbaik untuk kulit masing-masing.

‘Ia diformulasi dengan bahan mineral yang baik untuk kulit, termasuk untuk kanak-kanak. Syukur setakat ini lebih 50 peratus sudah terjual. Kiranya dapat penerimaan yang positif,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Wawa menambah, sebagai ibu bapa mereka juga tidak pernah lupa untuk menyimpan untuk anak-anak setiap bulan selain menyediakan keperluan lain.

“Sebenarnya untuk setiap anak, mereka sudah ada rumah masing-masing. Malah kami memang peruntukkan satu jumlah untuk simpanan mereka setiap bulan.

“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Jadi lebih baik ada simpanan untuk kemudahan pengajian mereka, waktu kecemasan dan sebagainya.

“Simpanan itu juga sebenarnya hasil daripada perniagaan kosmetik yang kami jalankan sejak awal,” katanya lagi.

Wawa turut bersetuju bahawa kejayaan bisnes yang dijalankan dia dan suami sebenarnya adalah hasil rezeki anak-anak.

“Rezeki setiap anak ini bagi saya berbeza-beza. Malah saya perasan setiap kali menerima kehadiran ahli keluarga baru, rezeki kami juga lebih baik alhamdulillah,” katanya.

Untuk rekod, pasangan selebriti ini mendirikan rumah tangga pada 2013 dan hasil perkongsian hidup, mereka

dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 11, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 8, Ayya Sofia, 4, dan Muhammad Fahri, 3.

Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
MH