Pelakon Bella Dally memaklumkan dirinya kini telah memberi keterangan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dan akan beri kerjasama penuh selepas didakwa melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) gara-gara melakukan aktiviti berbasikal sehingga dikatakan merentas negeri, Ahad lalu bersama rakan.
Menurut Bella dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Instagram, dia menafikan dakwaan tersebut dan menganggap perkara tersebut hanyalah kekeliruan semata-mata.
“Saya mengambil maklum laporan media termasuk yang tular di media sosial berkaitan dakwaan saya mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat PKPB yang sedang berkuatkuasa di Selangor ketika ini.
“Untuk makluman, saya telah selesai memberikan keterangan dan akan memberi kerjasama penuh kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.
“Apa yang berlaku pada Ahad lalu (18 Oktober 2020) saya dan seorang rakan melakukan aktiviti riadah berbasikal di sekitar daerah Gombak, Selangor berhampiran Hutan Lipur Sungai Tua yang berdekatan dengan sempadan antara negeri Selangor dan Pahang,” katanya.
Jelas Bella lagi, posting yang dimuat naik di Instagram pada hari kejadian telah disalah erti segelintir pihak sehingga ada yang mendakwa dia telah berbasikal sehingga ke sempadan negeri Pahang.
“Satu gambar telah dimuat naik ke Instagram saya dengan kapsyen “Wohoo Genting Sempah With…” dan ia telah menimbulkan kekeliruan sehingga ada yang mendakwa saya telah merentasi sempadan antara dua buah negeri.
“Jika saya ada berada di sempadan negeri, sudah tentu ada papan tanda dan garis sempadan antara Selangor dan Pahang untuk rujukan.
“Apapun saya mengambil iktibar atas kekeliruan yang timbul ekoran daripada posting di Instagram saya tempoh hari,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Bella turut mengambil kesempatan tersebut untuk membuat permohonan maaf dan menyifatkan insiden akan menjadi iktibar buat dirinya.
“Berikut sahaja kenyataan saya bagi merungkai kekeliruan yang berlaku dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan.
“Saya mohon maaf sekali lagi dan bersama-sama dengan semua dalam usaha kita memutuskan rangkaian Covid-19.
“Saya doakan semoga kita semua berada dalam keadaan selamat senantiasa. Stay safe,” akhirinya.