Berita

Bella Ucap ‘Tahniah Buat Ruhainies – “Berjaya Meruntuhkan Masjid Ini, Anak-Anak Saya Kehilangan Bapa…”

Share

Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah yang sudah pun sah berpisah talak satu buat kali kedua dengan bintang Singapura, Aliff Aziz hari ini memberikan luahan mengenai situasi yang berlaku.

Bella Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabella Awang Astillah berkongsi perkara itu menerusi hantaran terkini di Instagram.

“Saya selalu percaya bahawa peluang mampu mengubah seseorang tetapi hanya jika digunakan dengan baik. Dan kesalahan yang dibuat berulang-ulang bukanlah satu kesilapan akan tetapi pilihan.

“Saya selalu mengimpikan rumah tangga yang kekal tetapi bila difikirkan balik, seberapa banyak peluang yang saya berikan tapi pada akhirnya saya tidak mampu melawan takdir.

“Sudah cukup memperjuangkan hubungan ini tapi perjuangan ini sia-sia kerana saya seorang sahaja yang berjuang.

“Doa saya agar kehidupan baru saya bersama anak-anak dipermudahkan dan saya akan cuba sebaik mungkin menjadi ibu dan bapa yang terbaik untuk mereka.

“Tiada penyesalan, saya terima ini adalah ujian dan pengalaman hidup.

“Terima kasih buat keluarga, sahabat, rakan rakan industri, media dan semua followers yang mendoakan kami semua. Semoga segala doa yang baik baik berbalik kepada anda semua,” tulisnya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu turut memberikan ‘ucapan’ kepada rakan artis, Ruhainies yang sebelum ini menjadi antara nama yang terpalit di dalam isu rumah tangga mereka.

“Selepas hari ini, saya tidak lagi ingin mencintai seseorang terlalu dalam, kerana jika berpisah, lukanya pun pasti terlalu dalam.

“Dan buat kali terakhir saya ingin mengucapkan tahniah kepada bekas sahabat saya, Ruhainies kerana berjaya meruntuhkan masjid ini dan anak-anak saya kehilangan bapa mereka,” kongsinya lagi.

Terdahulu, Bella dan Aliff sah bercerai talak satu pada jam 1.11  petang di hadapan Hakim Syarie Wan Mohd Najib Wan Hamat di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Untuk rekod Aliff mendirikan rumah tangga dengan Bella pada 9 September 2016, namun pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh edah.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna.

Terdahulu pada 9 Mac lalu, dunia hiburan kecoh apabila Aliff dan pelakon Ruhainies dicekup selepas didakwa berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH