Pelakon dan penyanyi, Ifa Raziah berhasrat untuk menunaikan haji bersama suami, Mohd Yani tahun depan atau dalm tempoh dua tahun akan datang.
Ifa ketika ditemui di Hotel Grand Millenium, Kuala Lumpur menjelaskan, perkara itu (menunaikan haji) bersama suami merupakan salah satu senarai dalam hidupnya yang masih belum tercapai.
“Dalam hidup ini, alhamdulillah saya dah dapat semua. Misalnya, anugerah dalam industri hiburan, kereta, rumah, keluarga yang penyayang dan anak-anak semakin membesar dengan baik dan sihat.
“Cuma satu sahaja iaitu saya rancang kini iaitu untuk menunaikan haji bersama suami.
“Insyallah kalau dijemput sebagai tetamu Allah untuk kerumahNya, saya akan menunaikan haji kerana perkara itu yang saya belum dapat lagi dalam hidup,” katanya kepada MH pada Ahad.
Bintang versatil itu ditemui bersempena dengan majlis ulang tahun hari jadinya, di sebuah hotel terkemuka di ibu kota.
Sinonim kini dengan lagu Starlela yang dinyanyikan secara trio bersama Zizi Kirana dan Bella Astillah, Ifa turut meluahkan rasa syukur kerana diberi kesempatan untuk menunaikan umrah bersama keluarga awal tahun ini.
“Pada Februari lalu, saya sudah pergi menunaikan umrah bersama suami dan anak dan sekali gus perasaan itu tidak akan dapat saya lupakan sampai bila-bila.
“Alhamdulillah segala urusan saya dipermudahkan Allah untuk bersama-sama dengan keluarga ke sana dan Insyallah kalau umur panjang, saya dan suami akan pergi haji pula,”akhiri Ifa.
Dalam perkembangan lain, Ifa baru sahaja meraikan ulang tahun hari jadinya yang ke-44 tahun semalam di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Foto : Instagram Ifa Raziah