Pelakon Aprena Menrose menjelaskan dirinya masih belum mengenakan niqab secara kekal sebagaimana yang didakwa segelintir peminat.
Aprena, 29, berkata dia maklum ada yang menyangka dia sudah tampil sedemikian selepas video keberadaanya di sebuah majlis dengan mengenakan niqab mulai diperkatakan.
Berterima kasih atas komen yang diberikan, Aprena atau nama sebenarnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman bagaimanapun meminta doa ramai untuk terus mendoakan yang baik-baik dalam usahanya menjadi Muslimah sejati.
“Belum lagi (berniqab), tapi doa-doakan InsyaAllah. Mengenai doa peminat mengenai istiqamah itu, saya anggap ia sebagai doa untuk saya moga terus kekal dengan apa yang dilakukan ini, saya hargainya.
“Cuma video tersebut diambil ketika saya hadir ke sebuah majlis ilmu. Kalau perasan, ada juga beberapa bahagian dalam video menunjukkan saya tidak pakai niqab,” katanya kepada MH.
Aprena sebelum ini menerusi satu perkongsian di laman Instagram memuat naik video dia berniqab di sebuah majlis sekaligus menerima banyak komen positif peminat.
Adik kepada kepada pelakon Oktovia Manrose ini pada berharap moga apa yang dikongsi itu memberi pendedahakan positif lebih ramai orang tentang kelas agama yang dikhaskan untuk golongan wanita.
“Jujur apabila pergi ke kelas ilmu agama sebegitu dan berjumpa dengan ramai wanita berniqab. Semasa hadiri kelas yang pertama saya tak pakai. Jadi bila tengok kepada suasana, hati kita terdetik untuk ingin belajar.
“Saya pun tidaklah kuat pengetahuan ilmu agama, tapi bila saya ikuti sesi sedemikian, Allah beri ruang… ada sahaja kelas seumpamanya untuk saya sertai lagi. Orang ajak pun ada.
“Cuma video yang saya kongsi di Instagram itu bukanlah yang pertama yang dihadiri. Sebelum ini saya jarang kongsikan di media sosial. Cuma baru-baru ini saya pernah kongsikan video sama di Insta Stories, masyaAllah tak sangka ramai peminat yang bertanya dan mahu ikut serta.
“Jadi niat saya kongsikan sekarang adalah untuk berkongsi mengenai kelas agama yang dianjurkan khsusus buat Muslimat. Kelas yang saya kongsikan itu dilakukan di Semenyih, Selangor, Ahad lepas,” katanya lagi.
Aprena sebelum ini mengesahkan dirinya sudah bertudung sejak Jun tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, Aprena memberitahu dia masih lagi aktif dalam dunia lakonan dan bakal kembali ke set penggambaran drama baharu bulan depan.
“Kerjaya lakonan berjalan seperti biasa dan saya masih lagi terima tawaran. InsyaAllah akan kembali ke set lakonan bermula Oktober ini.
“Allah telah aturkan perjalanan saya dengan sangat baik. Jika tidak terlibat dengan penggambaran, banyak peluang untuk saya hadir ke kelas agama,” jelasnya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini .