Hiburan

Belum Terima Surat Tuntutan, Uyaina Arshad Sedia Lawan Di Mahkamah

Share

Dikatakan bakal berdepan tindakan saman daripada peguam Abang Bas yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak, pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad mendedahkan dirinya masih belum menerima sebarang surat tuntutan.

Menurut Uyaina, dia menyifatkan situasi ini sebagai lumrah dan asam garam dalam kehidupan seorang figuran awam.

“Saya tak pasti sama ada surat tuntutan itu sudah ada atau tidak. Kalau ada, alhamdulillah. Kalau tiada pun tetap alhamdulillah juga.

“Saya melihat perkara tersebut sebagai satu lagi ‘rempah’ dalam perjalanan seni saya. Jangan pernah takut untuk bercakap perkara yang benar.

“Apa sahaja kita perkatakan, hendaklah disertakan dengan fakta, supaya kita tidak salah,” katanya kepada MH.

Pada masa sama, pengacara program Wanita Hari Ini itu juga akui sudah bersedia untuk berhadapan dengan apa sahaja situasi sekiranya namanya dibawa ke muka pengadilan.

“Ya, saya sudah bersedia. Mungkin hal ini akan memberikan kesan kepada nama baik saya sendiri. Sesiapa sahaja yang kurang senang atau ingin menghantar apa-apa tuntutan, silakan.

“Biar mahkamah yang membuat keputusan,” ujarnya.

Katanya lagi, hal seperti ini tidak sesekali akan mematahkan semangatnya untuk terus bersuara dan memberikan kesedaran kepada masyarakat.

“Saya akan terus mengulas perkara-perkara yang membelenggu masyarakat. Ada yang bertanya, mengapa bila timbul isu tersebut, baru nak bersuara?

“Sedangkan pekara itu tidak benar. Mungkin orang-orang itu yang baru mengkuti saya di media sosial.

“Sejak dahulu lagi, saya memang lantang bersuara. Mungkin disebabkan kes tersebut, ia lebih mendapat perhatian,” akhirinya.

Sebelum ini, Uyaina lantang mengulas tindakan seorang pemandu bas yang didakwa di Mahkamah Muar, Johor atas pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan selepas merakam video pelajar tersebut.

Rentetan itu, keluarga pemandu bas tersebut meluahkan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu dan selebriti yang sudah mencemarkan nama baiknya meskipun dia sudah dibebaskan dengan bayaran jaminan sebanyak RM40,000, pada 18 September lalu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf