Ben Ali & Isteri Rela Hati Sumbang RM40K Untuk Palestin – “Jumlah Sebahagian Dari Setiap Seorang Yang Membeli Produk Kami.”

Share

Usahawan dan pelakon, Ben Ali bersama isterinya Nadiyah Shahab tampil menyumbang RM40,000 kepada 7 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai usaha membantu meringankan beban dihadapi rakyat Palestin akibat ditindas Zionis Israel.

Menurut Ben atau nama sebenarnya, Nurali Nadzwan, sumbangan berkenaan diperoleh hasil jualan produk keluaran mereka, Absolut Chocolat di Malaysia dan Singapura.

“Sebanyak RM40,000 disumbangkan kepada beberapa pertubuhan yang menjalankan misi ini. Ia adalah hasil jualan Absolut Chocolat di Malaysia dan Singapura.

“Jumlah sumbangan ini mengandungi sebahagian kecil daripada setiap seorang yang membeli produk kami.

“Dalam masa sama, isteri saya Nadiyah juga membuat sumbangan peribadi sebanyak RM12,000. Dia sangat terkesan dengan apa yang menimpa rakyat Palestin di sana. Hampir setiap hari dia menangis apatah lagi melihat kanak-kanak menjadi mangsa,” katanya memetik Harian Metro.

Menurut Ben, dia berharap sumbangan itu dapat membantu dan meringankan beban saudara Islam di sana.

“Terima kasih diucapkan kepada semua yang sejak dahulu menyokong perjalanan kami. Daripada anda, kini kami pulangkan kepada yang lebih memerlukan. Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban saudara Islam kita di bumi Gaza. Semoga Allah terus melindungi mereka.

“Kami mengajak anda untuk turut serta sama membantu mengikut kemampuan masing-masing menerusi dana Absolut Grace Charity. Ini juga adalah inisiatif isteri. Diharap kita semua mendapat syafaat daripada Allah. Insya-Allah,” katanya lagi.

Ben pada masa sama turut berhasrat untuk terus melakukan projek amal yang dilakukan sempena Ramadan baru-baru ini.

“Alhamdulillah, sepanjang Ramadan lalu kami ke 15 rumah anak yatim dan orang tua selama 15 hari. Kami berikan sumbangan berupa derma dan belikan mereka kelengkapan raya.

“Ada juga rumah orang tua yang kami taja sepenuhnya membabitkan sewa mereka. Semua ini hasil jualan produk kami.

“Insya-Allah, tahun depan kami menyasarkan nak buat sepanjang 30 hari bulan Ramadan. Doakan ia dipermudahkan,” harapnya optimis.

Sementara itu menerusi Instagram, Ben turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pembeli yang secara tidak langsung menyokong apa yang diusahakan ketika ini.

“Bismillahirrahmanirrahim, berkat hasil pembelian para pelanggan & juga berkat izin Allah S.W.T , kami berkesempatan untuk turut sama menyumbang bagi membantu rakyat Palestin yang sedang ditimpa musibah.

“Terima Kasih diucapkan kepada anda semua yang sejak dari dahulu lagi menyokong perjalanan kami. Dari anda, kini kami pulangkan kepada yang lebih memerlukan.

“Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban saudara-saudara se-islam kita di bumi Gaza. Semoga Allah terus melindungi mereka.

“Kepada yang berhajat untuk juga menyumbang. Saya sertakan sekali antara senarai pertubuhan yang kami telah sumbangkan bantuan. Diharap kita semua mendapat syafaat dari-Nya. InshaAllah,” tulisnya.

Foto: Instagram Ben Ali

Published by
MH