Akui pernah ‘ganggu’ kru dan pelakon walau pada jam 2.00 pagi selain sering menukar jalan cerita pada akhir waktu sehingga digelar ‘produser gila’ Datuk Rafiena Ezanee Ramli, akui sifat tersebut tidak lagi menjadi rutin dalam cara kerjanya.
Malah, penerbit dan pelakon ini juga mendedahkan, sikap tersebut telah banyak berkurang berbanding sebelum ini.
Jelasnya, perkara itu boleh terjadi kerana ada ketika idea hanya datang pada waktu malam secara tiba-tiba.
Katanya, hanya ketika itu dia bebas berkarya tanpa gangguan.
“Memang betul ada yang tidak dan boleh boleh ikut cara kerja saya. Selagi belum pukul 2.00 pagi, saya tidak akan balik. Berani kerja dengan saya?
“Selalunya idea akan datang pada waktu malam dan pada waktu itu otak saya aktif berfikir. Lalu apabila idea muncul, saya kena terus mula mencatat dan kembangkannya pada waktu itu juga,” akui Rafiena.
Terdahulu, bintang ini ditemui pada Majlis Tayangan Khas Drama Syurgaku Sempurna 2 yang ditayangkan di Unifi TV di TGV KLCC, pada Rabu.
Mengakui kerap kali ‘menceroboh’ ruang pengarah dalam berkarya, Rafiena turut menjelaskan kedatangannya ke lokasi adalah bagi memastikan semua babak berjalan seperti yang dirancang.
Malah, ada ketikanya dia mahu menyuntik elemen kejutan pada babak tertentu dan dirasakan perlu hasil perbincangan semua pihak.
“Memang saya akan turun ke lokasi untuk melihat sendiri proses penggambaran. Ini kerana, ada kalanya apabila hasil yang datang tidak seperti yang diharapkan, saya akan minta pengarah untuk cantikkkan lagi babak tersebut.
“Misalnya, menerusi drama Syurgaku Tak Sempurna 2 ini, ia terlalu banyak twist, jadi saya harus teliti dan penonton tidak dapat menjangka apa akan berlaku seterusnya.
“Jadi pengarah harus buat seperti yang dimahukan. Namun saya tetap hormat pandangan pengarah dan perbincangan adalah yang terbaik,” tegasnya lagi.
Drama 30 episod terbitan Darkwave Pictures ini dibintangi Raja Ilya, Shah Iskandar, Haliza Misbun, Datuk Eizlan Yusoff dan Datuk Mustapha Kamal.
Bersiaran menerusi HyppSensasi saluran 116 (Unifi TV), Rafiena turut gembira kerana sambutannya cukup positif selain mendapat tontonan yang tinggi di kalangan pencinta drama lokal.