“Berat Makin Naik, Alhamdulillah Dia Juga Dah Mula Minum Susu,” – Shuib ‘Update’ Perkembangan Ayash Affan, Sudah Keluar Inkubator

Share

Usahawan dan pelawak, Shuib memaklumkan anak bongsunya, Ayash Affan yang lahir secara pramatang pada 6 Ogos lalu sudah dikeluarkan dari inkubator di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia, dua hari lalu.

Menurut Shuib, bayi lelaki yang kini berusia 3 minggu itu berkenaan menunjukkkan perkembangan yang baik selepas dikeluarkan dari Inkubator.

“Alhamdulillah, ‘baby’ dah pun dikeluarkan dari inkubator sejak dua hari lalu. Berat makin naik, alhamdulillah dia juga dah mula minum susu ibu (daripada sepupu Shuib).

“Begitulah perkembangannya dan doktor cakap dalam masa kira-kira tiga minggu, insya-Allah dia akan keluar (dibawa pulang ke rumah),” katanya memetik Harian Metro.

Sementara itu, Shuib baru-baru ini turut dilaporkan sudah bertemu calon sesuai untuk menjadi ibu susuan buat Ayash iaitu sepupunya sendiri.

“Syukur kepada Allah apabila dalam kalangan keluarga saya ada sepupu yang baru melahirkan anak kira-kira enam bulan lalu dan dialah ibu susuan Ayash,” katanya.

Terdahulu pada 9 Ogos lalu, isteri kepada bintang berkenaan yang juga penyanyi Siti Sarah Raissuddin telah meninggal dunia akibat Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) HCTM.

Pasangan selebriti ini mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2011 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin, dan Ayash Affan.

Sumber: Harian Metro

Published by
MH