Penyanyi dan penyampai radio, Dina Nadzir mengakui dirinya cukup gembira dan cuba untuk menjadi versi diri sendiri yang lebih baik.
Lalu tahun ini, dia secara serius cuba mengambil inisiatif untuk menurunkan berat badan secara sihat dengan bantuan serta melakukan perawatan bersama SSKlinic.
Katanya kepada MH, perlantikannya sebagai duta pusat kesihatan itu juga secara tak langsung memberi ruang terbaik untuknya dalam mendapatkan bentuk tubuh lebih ideal.
Katanya kepada MH, dalam tempoh empat minggu sebelum ini, berat badannya berjaya susut sehingga 6 kilogram.
“Saya sangat gembira dan rasa lagi teruja apabila doktor yang pantau saya beritahu, berat saya boleh dikurangkan lagi kalau lebih berdisiplin, makan ikut waktu dan banyakkan minum air.
“Ingatkan 6 kilogram dalam tempoh sebulan itu sudah banyak, tapi katanya saya boleh turunkan lagi. InsyaAllah masih dalam proses dan kalau boleh, saya mahu miliki berat sekitar 80 kilogram, InsyaAllah,” jelas Dina optimis.
Ditanya sejauh mana kesukaran yang dihadapinya sepanjang proses untuk turunkan berat badan, penyanyi yang sinonim menerusi lagu Cinta Datang Lagi ini akui dirinya amat rindukan makanan segera.
“Ya saya akui sangat rindukan ‘jajan’. Berat saya ni 20 kilogram saja, selebihnya ‘jajan’ dan cokelat,” seloroh Dina.
“Saya tak nafikan memang susah. Bila pergi kedai pada peringkat awal tu, saya ambil kemudian terfikir untuk kurus jadi terpaksa letak balik. Kena kuatkan mental.
“Formula saya ialah, gemar untuk kongsikan apa yang dilakukan sekarang dengan orang sekeliling. Jadi bila berbuat demikian, mereka akan lebih faham dan sensitif dalam soal pengambilan makanan.
“Saya bertuah kerana rakan-rakan pun menyokong. Misalnya di konti kalau kami ada buat ‘potluck’, ada yang akan bawa salad, air mineral dan sebagainya.
“Malah kalau kita terlupa, ada yang akan tegur sama ada makanan yang saya nak makan itu mengandungi gula atau sebaliknya. Mereka pula yang ingatkan, termasuklah ibu,” jelasnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Dina kini sedang mencari material baru untuk single dan sebolehnya, dia cuba untuk mencari lagu berbeza dari pada yang pernah dinyanyikan sebelum ini demi mencepati cita rasa penggemar muzik semasa.
Foto: Instagram Dina Nadzir.