Sejak menamatkan zaman solo pada Januari tahun lalu, pelakon Nafiz Muaz dilihat seperti memperlahankan sebentar kerjaya seninya untuk memberikan fokus terhadap statusnya sebagai seorang suami.
Mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Nur Diyana Omar, 30, yang juga merupakan adinda kepada Duli Yang Maha Mulia, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Nafiz berkata tiada sebarang perubahan yang dilaluinya biarpun tanggapan ramai menganggap dia perlu terikat dengan protokol.
“Ada yang cakap bila kahwin dengan kerabat diraja atau yang mempunyai pertalian darah dengan mereka kena kawal semua perkara. Tetapi bila saya dah jadi sebahagian daripada mereka tak ada pun sebarang tanggapan itu. Yang penting kita jujur, ikhlas dan jaga nama baik keluarga.
“Saya memang jaga perihal peribadi kerana ingin menjaga nama baik saya dan keluarga. Saya tak pernah ambil kesempatan berkahwin dengan adik salah seorang kerabat diraja atau sebaliknya kerana saya memang bekerja keras untuk isteri dan keluarga.
“Saya kalau boleh nak orang anggap saya bukan orang yang senang kerana takut akan ada pihak yang bersikap busuk hati dan saya selesa untuk sentiasa bersikap merendah diri,” katanya.
Masih lagi dalam mood raya, Nafiz, 23, turut berkongsi cerita pengalamannya menyambut Aidilfitri bersama kerabat diraja Terengganu, baru-baru ini.
“Apabila raya kami menghadap istana kerana akan ada sesi makan bersama keluarga. Banyak benda baru sebenarnya yang saya belajar dan saya agak kekok apabila pertama kali masuk ke dalam istana.
“Sebelum kahwin saya panggil Sultanah Nur Zahirah sebagai Tuanku tapi bila kami dah jadi keluarga saya bahasakan diri saya Nafiz dan saya panggil baginda sebagai Kak Zahirah. Kalau Sultan Mizan, saya masih panggil sebagai Tuanku.
“Saya pun dah tak rasa kekok dan keluarga diraja pula mereka terima saya seadanya tanpa mengira darjat atau status walaupun saya orang seni dan bukan golongan berada. Itu adalah rezeki yang Allah bagi pada saya.
“Baginda (Sultanah Nur Zahirah) tak nak saya rasa bila kami makan semeja, saya akan rasa macam orang luar . Baginda nak saya rasa seperti keluarga dan orangnya sangat peramah.
“Baginda seorang yang santai dan saya suka perwatakan Baginda sehingga kami boleh bersembang lama pelbagai perkara. Dia masih pekat cakap Kedah walaupun berkahwin dengan orang Terengganu,” kata Nafiz.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Nafiz Muaz