Berkongsi sejarah silam yang tersimpan jauh di lubuk hati, pelakon Enot mencurahkan rasa yang dialami menerusi kegagalan dua perkahwinan lalu dalam bual bicara Mingguan Wanita di Astro Prima, tengahari tadi.
Tegasnya, walau sudah lapan tahun menjanda, namun setakat ini tiada sedikitpun keinginan untuk kembali bergelar isteri kerana bimbang andai tersilap pilih ‘biawak hidup’.
“Perkahwinan pertama bertahan lapan tahun, perkahwinan kedua juga bertahan lapan tahun dan kini saya menjanda sudah lapan tahun.
“Orang Cina kata angka lapan bertuah, mungkin ini ‘tuah’ saya. Memang tiada dalam perancangan untuk berkahwin untuk kali ketiga walaupun ramai yang masuk meminang. Saya tidak mahu tanggung biawak hidup.
“Sewaktu bercerai dengan suami kedua, pada waktu itu saya disahkan mengidap kanser usus.
“Waktu itu saya tidak mampu bekerja dan tiada sebarang tawaran, jadi bayangkan bagaimana kehidupan waktu itu, sengsara,” katanya menahan sebak.
Jelasnya, tiada apa yang perlu dipertahan andai isteri hanya bertepuk sebelah tangan dan berkorban segala-galanya untuk kebahagiaan keluarga.
“Nasihat saya, siapa yang berada dalam hubungan seperti ini, kuatkan hati. Mungkin ramai yang tiada keberanian, fikirkan anak-anak dan masa depan.
“Jika kita masih menanggung dia, bagaimana dengan anak-anak. Sayangi diri sendiri dahulu baru orang lain. Allah yang tentukan rezeki, jadi jangan risau apa akan berlaku selepas itu.
“Kita memang ditakdirkan hidup sendiri satu hari nanti, jadi mengapa harus takut. Lagipun kita ada anak-anak, jika tiada anak, curahkan kasih sayang kepada binatang seperti kucing, mereka lebih memahami perasaan kita,” jelasnya lagi.
Kata pelakon dengan nama sebenar Aliza Abdullah ini, walaupun masih menyayangi suami, namun keutamaan adalah anak-anak.
“Daripada perkahwinan pertama, saya bertindak untuk keluar daripada perkahwinan awal kerana kami disatukan oleh keluarga.
“Apa pun, saya memilih anak-anak daripada suami. Itu keutamaan saya. Walaupun orang mempertikai, tidak mengapa. Jika tidak bersama dia pun, saya masih boleh hidup.
“Saya tidak mahu bila berumur 50 tahun masih lagi menangis dengan perangai lelaki, saya perlukan ketenangan di akhir kehidupan. Saya lepaskan semua.
“Perkahwinan kedua adalah cinta pertama jadi sukar untuk melepaskan. Namun bila melihat wajah anak-anak, saya terpaksa lepaskan dia,” katanya yang baru sahaja menerima menantu sulung Mac lalu.
Wanita berusia 41 tahun ini pernah berkahwin dengan Zainul Abidin Mat Noor pada 21 November 2008 dan bercerai pada Mac 2013.
Sebelum ini dia juga pernah bercerai pada 2006 dan mempunyai dia cahaya mata, Andriana dan Ariana dengan suami pertama.
Foto : Instagram Enot & Mingguan Wanita