Kumpulan Dolla yang kini kian mendapat tempat di hati para peminat mendedahkan mereka sememangnya ada memasang impian untuk melebarkan sayap ke Hollywood.
Bagaimanapun, menurut salah seorang anggotanya, Tabby, Dolla ketika ini lebih selesa untuk memberikan sepenuh tumpuan dalam menambah baik kualiti persembahan mereka.
“Kami juga sebenarnya berharap begitu (ke Hollywood). Bagaimanapun, saya rasa pada ketika ini, Dolla ingin memberikan fokus untuk memperbaiki setiap kelemahan yang kami miliki.
“Semenjak perlaksanaan PKP ini, kami akui agak sedikit sukar untuk membuat sebarang perancangan yang jelas mengenai masa hadapan kami.
“Jadi, kami pilih untuk memanfaatkan masa yang terluang ini untuk berusaha menambahbaik mutu dan kualiti yang akan Dolla persembahkan pada single yang seterusnya.
“Kami juga berusaha untuk memperbaiki kekurangan diri kami sendiri,” katanya kepada MH majlis sidang media single Dolla, Berani secara virtual baru-baru ini.
Ketika ditanya adakah Dolla akan meletakkan sebarang syarat sekiranya mendapat tawaran ke Hollywood, ini reaksi yang diberikan seorang lagi anggotanya, Sabronzo;
“Sekiranya kami ada menerima tawaran untuk mengembangkan lagi karier kami, sudah tentu kami akan pertimbangkan.
“Apa sahaja yang akan kami lakukan pada masa hadapan, saya rasa sebagai anggota Dolla kami tidak akan sesekali mengubah identiti kami. Kami juga tidak akan lakukan sesuatu yang membuatkan kami tidak selesa.
“Malah, kami juga tidak mahu dipaksa untuk melakukan sesuatu yang tidak kami inginkan. Kuncinya di sini, kami lebih selesa untuk menjadi diri kami sendiri,” ujarnya.
Sabronzo turut menambah, Dolla ketika ini dalam perancangan untuk mengadakan pertemuan rasmi bersama peminat buat pertama kalinya sepanjang grup ini ditubuhkan.
“Perancangan utama kami selepas ini adalah untuk bertemu dengan peminat buat pertama kalinya. Kami belum berkesempatan untuk bertemu mereka secara empat mata.
“Sekiranya perkara tersebut berlaku, kami sememangnya berasa amat gembira. Kami merancang untuk mengadakan persembahan memandangkan kami belum pernah berbuat sedemikian untuk para peminat.
“Sebolehnya kami ingin mengadakan persembahan secara langsung di hadapan para penonton,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Berani merupakan sebuah lagu yang ditujukan khas untuk mengangkat martabat wanita menerusi semangat juang dengan bangkit melawan penindasan dan ketakutan.
Dolla dianggotai oleh empat orang gadis serba boleh iaitu Tabby, Sabronzo, Angel dan Syasya.