Pelakon Scha Elinnea mengalami jangkitan kuman pada bahagian mata kirinya dua hari lalu gara-gara mengenakan kanta lekap melebihi tempoh kebiasaan.
Kata Scha, beberapa komitmen seninya juga terpaksa ditangguhkan kerana masalah yang dialami.
Bagaimanapun, bintang drama Nasi Kerabu Untuk Che Abe ini menzahirkan rasa syukur selepas keadaan mata kirinya kini beransur pulih.
“Sejujurnya saya memang alami masalah rabun dan lazimnya, saya lebih selesa mengenakan kanta lekap berbading memakai kaca mata.
“Namun ketika mengikuti satu kelas lakonan baru-baru ini, mata kiri saya seakan berdenyut-denyut dan rasa sakit. Bila buka kanta lekap, air mata terus keluar.
“Lalu saya lakukan pemeriksaan dan doktor memberitahu ada jangkitan pada bahagian mata kiri.
“Jelasnya, jika rasa sakit masih lagi berterusan dalam tempoh tiga hari selepas rawatan, saya disarankan untuk ke hospital untuk buat pemeriksaan lanjut.
“Alhamdulillah, semuanya sudah okay dan saya sudah mula bekerja macam biasa,” katanya.
Mengakui kurang memberi perhatian terhadap soal penjagaan mata sebelum ini, pelakon berusia 21 tahun ini mulai peka dan tidak mahu lagi ambil sikap sambil lewa.
“Nasihat saya, kalau tidak ada hal yang penting tidak perlulah mengenakan kanta lekap kalau tidak boleh menjaganya dengan baik.
“Bimbang kerana hal itu mungkin boleh beri kemudaratan kepada si pemakai.
“Paling penting, pastikan anda mengenakannya mengikut masa yang disarankan selain menjaga kebersihan tangan serta kanta lekap sebaiknya,” akhiri Scha.