“Berdiam Diri Sebab Tidak Mahu ‘Mengapi-Apikan’ Lagi Keadaan,” – Siti Hariesa

Share

Pendatang baharu dalam dunia lakonan, Siti Hariesa mengakui tindakannya untuk meredakan situasi selepas terpalit kontroversi babak panas menerusi drama bersiri, Perempuan Itu.

Lebih tiga tahun bergelar pelakon, Hariesa, 24, juga mahu terus bersikap profesional di dalam bekerja.

“Saya lebih rela berdiam diri sebab tidak mahu ‘mengapi-apikan’ lagi keadaan,” katanya kepada MH.

Hariesa turut memberitahu dia cuti selama sebulan selepas penggambaran drama terbabit.

Ditanya mengenai babak yang menimbulkan reaksi pelbagai seterusnya menjadi bualan hangat, pelakon drama Pink Smile ini akui ia hanya tuntuan kerja.

“Pada mulanya, saya rasa lawak apabila ia tular. Kemudiannya, barulah saya sedar beginilah perasaannya tular.

Mac lalu, bintang cantik ini terpalit kontroversi susulan klip promosi trailer drama bersiri, Perempuan Itu yang mengandungi babak yang mengundang reaksi pelbagai netizen selepas dikongsi rakan pelakon di Instagram.

Posting berkenaan bagaimanapun sudah pun diturunkan.

“Sebagai pelakon saya hanya mahu jadi profesional, sudah tentu. Itu sahaja yang saya nak. Mahu profesional dalam bidang lakonan.

“Apa yang dilakukan atas tuntutan kerja, bukannya nak berseronok ataupun suka-suka,” katanya lagi.

Hariesa pada masa sama tidak menafikan menerima banyak mesej peribadi di media sosial, namun mengelak daripada membacanya.

“Keluarga dan rakan-rakan ada berpesan agar jangan membaca komen. Ada ketikanya terbaca juga bila notifikasi keluar. Tapi buat tidak tahu saja, tak ada nak balas,” katanya.

Berkongsi mengenai soal tawaran lakonan selepas apa yang berlaku, ini respon bintang yang menerusi Drama Festival Kuala Lumpur 2019 ini;

“Setakat ini saya tidak terfikir lagi untuk buat macam mana, tetapi sekiranya ada tawaran lakonan selepas ini, sudah tentu saya akan fikirkan sebaiknya. Terima atau sebaliknya. Kena ambil kira daripada semua sudut,” katanya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH