Pelakon terkenal, Aaron Aziz berkongsi detik cemas selepas dia diminta untuk menjemput anaknya, Dahlia susulan beberapa sekolah antarabangsa di Lembah Klang telah menerima ugutan bom pada selasa
Menurut Aaron, sebagai langkah berjaga-jaga, kesemua murid-murid di sekolah tersebut di minta pulang.
View this post on Instagram
“Hari ini ada ancaman bom di beberapa buah sekolah antarabangsa. Jadi, pihak sekolah minta kita datang untuk ambil anak-anak. Sekolah anak saya juga adalah salah satu daripadanya,” katanya menerusi sebuah hantaran video di Instagram.
Menerusi video tersebut juga, Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz sempat menasihati orang ramai supaya mengawal perasaan dan mengikuti segala arahan yang diberikan pihak berkuasa.
Jelasnya lagi, sikap tidak bertimbang rasa hanya akan menyukarkan lagi keadaan tersebut.
“Keadaan sekarang tengah huru hara. Keluarga juga tengah kelam kabut. Ada yang potong barisan. Saya faham ada yang tengah panik.
“Namun, dalam keadaan seperti ini, kita kena kekal tenang. Jangan cemas. Ikut arahan yang telah diberikan. Kalau orang tengah beratur, beraturlah.
“Kalau seorang tak beratur, semua orang akan tak beratur juga. Kita akan berhadapan dengan situasi panik dan menyukarkan pihak berwajib untuk mengurus situasi ini agar semuanya selamat,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Aaron turut memuji pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang mengandalikan situasi tersebut dengan baik.
“Terbaik tindakan pihak PDRM. Cepat dan profesional. Setakat ini sekolah Dahlia tidak menerima sebarang email ugutan tapi pihak sekolah mengambil langkah berjaga-jaga.
“Saya juga memuji tindakan pantas yang diambil pihak sekolah. Kekal tenang dan ikut protokol. Ingat, orang lain juga ada anak,” kongsinya lagi.
Terdahulu, pihak PDRM mengesahkan menerima laporan berkenaan sembilan sekolah antarabangsa, masing-masing dua di Kuala Lumpur dan tujuh di Selangor menerima ancaman bom menerusi e-mel pagi tadi.
Bagaimanapun, menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, e-mel itu adalah maklumat palsu yang hanya bertujuan menimbulkan kegusaran pihak sekolah dan ibu bapa.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Aarom Aziz & Harian Metro
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI