“Berharap Agar Penonton Dan Penyokong Terus Menyokong,” – AJL35 Sah Tukar Lokasi, Persembahan ‘Live’ Tanpa Penonton!

Share

Membuka tirai 2021 dengan semangat baharu, Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) bakal berlangsung 7 Februari depan.

Bersiaran langsung pada pukul 9 malam dari Auditorium MBSA, Shah Alam di TV3, Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) serta barisan finalisnya yang mantap akan berlangsung tanpa penonton bagi menghormati tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

AJL35 menampilkan pengacara berpengalaman Sherry Alhadad, Haziq Hussni dan Awal Ashaari sebagai pengacara utama, manakala Sissy Imann dan Shuk Sahar akan menggalas tugas sebagai pengacara di karpet merah yang kini dinamakan ‘Lounge AJL35’.

Program ini akan disiarkan secara langsung di TV9 pada pukul 8.30 malam, Ahad, 7 Februari 2021.

Seperti yang telah diumumkan di hari terakhir Muzik-Muzik 35 Separuh Akhir 15 Disember lalu, senarai 12 buah lagu yang akan bertanding di AJL35.

Sementara itu, AJL35 turut menyajikan persembahan pembuka tirai yang dibarisi oleh Ella, Naim Daniel dan Yonnyboii di samping sebuah lagu istimewa nyanyian Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Siti Nordiana dan Tuju yang berjudul Baik Semula, diciptakan khas untuk AJL35 oleh Faizal Tahir, Mage, Mike Chan, Karim Karam dan Tuju.

Selain itu, persembahan interlude AJL35 pula akan dimeriahkan dengan persembahan bertemakan Projek Band di mana Hujan, Hazama & The Penglipur Lara dan Akim & The Majistret pula akan mempertaruhkan persembahan medley & ‘mash up’ lagu-lagu terbaik mereka sambil bergandingan dengan Misha Omar, Dayang Nurfaizah dan Ziana Zain.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Dato’ Khairul Anwar Salleh, berkata, TV3 dan AJL35 secara khususnya mempunyai misi yang besar untuk memulakan tahun 2021 dengan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

“Harapan kami, dengan adanya 12 finalis ini, dapat  mencetus semangat untuk memulakan tahun baharu dengan lebih positif. Kami juga berasa amat bertuah apabila penaja utama AJL35, McDonald’s Malaysia sudi berkolaborasi dengan kami sejak SFMM35 tahun lalu, sehingga tamat AJL35 kelak.

“Ribuan terima kasih juga kami ucapkan kepada penaja-penaja bersama AJL35 Celcom Xpax dan Sabella, serta Shell selaku rakan penaja yang sentiasa mendukung usaha kami sebagai rakan seperjuangan. Oleh itu, kami berharap agar penonton dan penyokong setia AJL35 terus menyokong kami sehingga ke garis penamat,” katanya.

Seperti tahun sebelumnya, AJL35 juga menyiarkan Debaran AJL35, sebuah program khas berdurasi satu jam bersama Sherry Alhadad dan Haziq Hussni yang menyingkap setiap sudut persiapan AJL35. Debaran AJL35 ini akan disiarkan secara langsung pada pukul 5.30 petang, setiap Sabtu, bermula 6 Februari.

Pembaharuan lain yang bakal AJL35 sajikan adalah Festival Muzik AJL yang akan bertemu penonton setiap Ahad bermula 10 Januari, 9.00 malam hingga 11.00 malam. Festival Muzik AJL ini akan bersiaran selama empat minggu sehingga malam kemuncak Anugerah Juara Lagu 35.

Dihoskan oleh Awal Ashaari serta hos-hos jemputan seperti Charmaine Augustin, Rina Khan, Ally Iskandar dan Fara Fauzana. Festival Muzik AJL ini akan mengimbau persembahan-persembahan ikonik Anugerah Juara Lagu sejak kemunculannya.

AJL35 turut boleh ditonton secara live HD di tonton.com.my serta YouTube TV3 Malaysia.

Published by
MH