“Berhenti Tokok Tambah Cerita…,” – Sambutan Raya Tak Macam Dirancang, Zulin Aziz Terharu Sokongan Semua

Share

Pelakon, Zulin Aziz akui terharu dengan respon-respon positif daripada semua pihak selepas membuat pendedahan mengenai keadaan rumah tangganya yang dikatakan sedang bergolak.

Menurut Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abdul Aziz, dia dan suami kini memerlukan masa serta ruang untuk memuhasabah diri dan memperbaiki kesilapan masing-masing.

“Terima kasih kepada semua yang kirimkan mesej langsung (DM) doakan dan bagi semangat. Terharu baca semua DM dari keluarga sahabat, rakan artis dan peminat.

“Terima kasih sebab ambil berat. InsyaAllah saya baik-baik sahaja. Ambil masa untuk muhasabah diri masing-masing. Titip doa buat kami ya. Hidup mesti diteruskan,” tulisnya.

Luahan tersebut dikongsikan sendiri oleh pelakon drama, Cekelat Tak Semanis Honey itu menerusi sebuah hantaran di ruangan Instagram stories.

Katanya lagi, meskipun sambutan hari rayanya tidak berjalan seperti yang dirancang, namun, dia tetap mahu meraikan kedatangan bulan mulia ini bersama keluarga tercinta.

“Nak raya ni. Walaupun tak raya macam yang dirancang, mesti kena raikan dengan keluarga. Nak kemas rumah dan siapkan itu ini. Nak tenang-tenang sahaja,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, Zulin turut memohon semua pihak untuk berhenti menyebarkan berita-berita yang tidak benar mengenai kemelut rumah tangganya.

“Jadi, bolehlah dekat Tik Tok tu berhenti tokok tambah (cerita) cari viewers. Rasa nak sekeh sorang-sorang. Memandai-mandai sahaja buat cerita.

“Tak mengapalah. Lebih tenang kalau saya maafkan. Marilah fokus penghujung Ramadan ini dengan ibadah dan cari pahala. Terima kasih semua,” kongsinya lagi.

Baru-baru ini, Zulin ada memuat naik sebuah hantaran di Instagram seakan memberi gambaran hubungannya bersama suami bakal berakhir.

Bagaimanapun, Zulin masih belum menjelaskan mengenai motif sebenar dia memuat naik hantaran tersebut.

Apapun, kami di MH mendoakan Zulin dan suami dapat mencari jalan penyelesaian terbaik demi kebaikkan bersama.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf