Man Raja Lawak berkongsi rasa apabila kediamannya di Taman Sri Murni Fasa 1 Selayang antara kawasan yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak dua hari lalu.
Luah Man, dia tidak menyangka akan menjalani ibadah puasa dalam keadaan yang cukup sukar dan getir, malah jelasnya, penghuni di situ masih menanti bantuan.
Menerusi video yang dikongsikan di laman Youtube miliknya, Man menunjukkan persekitaran kawasannya yang dipagari kawat berduri dan keadaan penghuni yang menunggu bantuan di tingkat bawah.
“Bismillahirahmannirrahim, 23 April sehari sebelum Ramadan, inilah situasi yang berlaku di Taman Sri Murni Fasa 1 Selayang. Kami hanya menanti dan terus menanti, adakah bantuan akan tiba.
“Sahabat sebelum ini tidak terlintas di dalam kepala kita Malaysia akan menjadi sebegini. Sebelum ini kita bebas melangkah di muka bumi Allah, kita bebas untuk mencari rezeki. Kita bebas untuk ke mana jua.
“Tetapi masih ramai yang mengeluh. Masih ramai yang tidak mensyukuri kenikmati yang telah dikurniakan Allah.
“Kemanakah kami akan pergi? Ke manakah kami akan lari? Jika kawat berduri telah melingkari kediaman kami. Sekarang baru benar-benar terasa kebebasan itu amat bermakna.
“Bagaimanakah dengan mereka yang tiada bekalan makanan di rumah? Bagaimana pula dengan mereka yang mempunyai anak kecil? Bagaimana dengan mereka yang masih menjaga kedua ibu bapa yang sedang uzur? Adakah peluang kedua untuk kami?
“Ya Allah Kau dengarkanlah rintihan kami ini. Rintihan daripada mereka-mereka yang berdosa. Berikanlah kami peluang kedua Ya Allah. Kita hidup di muka bumi ini perlu berjalan dan bukan berlari kerana hidup kita adalah sebuah perjalanan dan bukan pelarian,” luahnya sebak.
Kerajaan mengumumkan Pusat Bandar Utara termasuk Taman Sri Murni dan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur dikenakan PKPD bermula 23 April hingga 3 Mei ini.
Foto : Man Raja Lawak