Aktres dan penyanyi popular, Erra Fazira tidak menafikan dia dan individu yang disifatkan sebagai mendamaikan seperti yang dinyatakan menerusi Insta Stories di Instgaram pada Jumaat, masih dalam fasa perkenalan.
Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chik, 51, bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut sejauh mana hubungan mereka kerana enggan pisang berbuah dua kali.
“Berilah peluang. Kami baru nak kenal. Kalau boleh saya tak mahu komen banyak-banyak.
“Nanti kalau tak jadi, saya juga yang malu,” katanya kepada MH.
Hanya Beri Kejutan
Sementara itu, penyanyi lagu Hanya Di Mata itu menjelaskan, ucapan selamat ulang tahun yang ditujukan kepada individu berkenaan yang menjadi tular di media sosial tidak lebih sebagai satu kejutan buat temannya itu.
“Secara amnya ia hanyalah ucapan selamat menyambut ulang tahun kelahiran buat kawan yang mungkin nak bagi kejutan pada dia. Itu sahaja,” jelasnya lagi.
Diusik dengan ucapan yang seakan memberi bayangan jejaka misteri itu adalah seseorang yang dikenali rakan media, Erra hanya tertawa.
“Allahuakbar! Terima kasih doakan yang baik-baik. Mudah-mudahan yang terbaik juga buat kita semua. Amin,” reaksi Erra.
Terdahulu dedikasi khas yang dibuat bintang filem Gemilang itu menerusi akaun Instagram, yang seolah-olah ditujukan kepada seseorang yang istimewa menjadi sorotan ramai.
Namun, identiti individu berkenaan tidak diperincikan ibu kepada seorang cahaya mata itu.
Dedikasi Hari Jadi Mulai Tular
Dalam hantaran terbabit, Erra menitipkan ucapan ulang tahun kelahiran buat insan yang disifatkannya sebagai mendamaikan.
“Selamat ulang tahun buat kamu yang mendamaikan. Moga Allah perkenankan segala doa dan harapan yang terindah dalam kehidupan dunia dan akhirat,” tulisnya.
Mengiringi hantaran terbabit adalah lagu nyanyian Misha Omar berjudul Semoga Abadi.
Terdahulu, Erra pernah berkahwin dengan Datuk Yusri Abdul Halim pada 2003 namun bercerai pada 2006.
Erra kemudian mendirikan rumah tangga pada 2007 bersama Engku Emran dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Engku Aleesya, yang kini berusia 16 tahun. Erra dan Emran bercerai pada 2014.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI